As-Sajdah (32) : 16
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
TAFSIR 1
Allah swt berfirman (Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya) yakni mereka bangun malam dan meninggalkan tidur dan berbaring dari atas kasur yang empuk. Menurut Mujahid dan Hassan, maksud firman-Nya (Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya) adalah bangun malam. Sedangkan menurut Ad-Dhahhak, maksud ayat tersebut adalah solat isyak dan solat subuh berjemaah. Allah swt berfirman (Mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap) yakni takut akan bencana azab-Nya dan sangat mengharapkan pahala-Nya yang melimpah (Dan mereka menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka) lalu mereka mengumpulkan antara perbuatan wajib dan sunah. Adapun panutan, tuan dan kebanggaan mereka di dunia dan akhirat adalah Rasullah saw.
Rujukan: 1999: 852 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan, Iambung mereka orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Allah swt itu menjauh dari tempat tidur mereka saat mereka tidur sehingga mereka tidak terlelap. (Mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap) kepada ampunan Tuhan mereka dan mengharapkan rahmat serta magfirah-Nya. (Serta mereka menafkahkan apa-apa rezeki yang Kami berikan) di jalan Allah swt. Mereka sentiasa menunaikan hak-hak Allah swt yang diwajibkan kepada mereka. Kata (Tatajaafa) berasal dari kata al-jifaa'u bererti kosong dan kering. Maksudnya, Allah swt menyebutnya sebagai kering Iambung mereka di tempat tidurnya ertinya mereka meninggalkan tidur kerana sibuk menunaikan solat. Para ahli takwil berbeza pendapat seputar solat yang disifatkan kepada mereka oleh Allah swt. Sebahagian ulama berpendapat, solat antara maghrib dan isyak. Menurut mereka, ayat ini turun untuk kaum yang menunaikan solat pada waktu tersebut. Sebahagian lain menyatakan solat maghrib. Yang lainnya menyebutkan, saat menunggu solat yang dinamai solat al-atamah. Ada juga pendapat yang menyatakan solat malam. Pendapat lain menegaskan, itu adalah sifat kaum yang tidak melepaskan lisan mereka dari berzikir kepada Allah swt. Pendapat yang benar adalah sesungguhnya Allah swt menyifati kaum tersebut dengan Iambung mereka kosong kerana mereka sibuk berdoa kepada Tuhan mereka, beribadah kepada-Nya dengan penuh harap dan takut.
Rujukan: 2001: 608-616 (Tafsir al-Tabari)