Luqman (31) : 34
إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
ASBAB 1
Diriwayatkan dari Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim dari Mujahid bahawa ketika itu Rasulullah ditanya oleh seorang arab badawi, Harits bin Amr, tentang jenis kelamin bayi yang akan dilahirkan oleh isterinya, waktu turun hujan dan tentang waktu kematian yang tiba. Maka dari itu, turunlah ayat ini yang menjelaskan bahawa Allah semata yang mengetahui lima hal, 1) datangnya kiamat 2) turunnya hujan 3) mengetahui jenis kandungan 4) apa yang akan dilakukan hamba-hamba-Nya dan 5) waktu dan tempat kematian makhluk-makhluk-Nya.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)