Al-Qasas (28) : 25
Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:" Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami". Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: "Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu ".
TAFSIR 1
Firman Allah (Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua perempuan itu berjalan dengan malu-malu) adalah ia mendatangi Musa dengan tersipu-sipu. Umar bin Khathtab menafsirkan ini dengan mengatakan bahawa ia seperti seorang perempuan yang berjalan di depan lelaki dengan menutupi wajahnya. Amar bin Maimun meriwayatkan, Umar bin Khathtab berkata "Salah seorang perempuan yang diutus menemui Musa itu mendatangi Musa dengan membawa kain di tangannya untuk menutupi wajahnya kerana malu-malu, sama sekali tidak seperti perempuan yang menemui lelaki lain dengan lantang atau gagah berani." (Riwayat Ibnu Abi Hatim) Firman Allah (Dia berkata "Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi balasan sebagai imbalan atas (kebaikan)mu memberi minum (ternak)) menunjukkan perempuan itu sangat mengerti tata krama sehingga tidak serta-merta meminta Musa datang ke rumahnya tanpa memberikan alasan pasti. Firman Allah (Ketika (Musa) mendatangi ayahnya dan dia menceritakan kepadanya kisah (mengenai dirinya)) adalah bahawa Musa menceritakan kepada Syu'aib tentang latar belakang ia sampai di negeri itu iaitu ia sengaja lari dari negerinya kerana dikejar tentara Firaun. Maksud firman Allah, dia berkata (Janganlah engkau takut! Engkau telah selamat dari orang-orang yang zalim itu) bahawa Syu'aib berusaha menenangkan hati Musa dengan mengatakan bahawa Musa telah lari jauh dari negeri Mesir sehingga kini berada di negeri Madyan yang aman dari kekuasaan Firaun. Syu'aib mengatakan bahawa Firaun tidak memiliki kewenangan apa pun di negeri Madyan. Kerana itu, Syu'aib berkata (Engkau telah selamat dari orang-orang yang zalim).
Rujukan: 1999: 809 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan "Datanglah kepada Musa salah seorang dari dua wanita yang diberi minum (ternak mereka) olehnya, ia berjalan penuh rasa malu, ia menutupi mukanya dengan bajunya. " Allah swt menegaskan "Wanita yang datang kepada Musa sambil berjalan penuh malu itu lantas berkata (Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi balasan sebagai imbalan atas (kebaikan)mu memberi minum (ternak)). Allah swt menegaskan "Musa lalu berangkat bersama wanita itu menghadap bapanya. Ketika tiba di depan bapanya, Musa kemudian menceritakan kisahnya dengan Firaun dan kaumnya iaitu kaum Qibthi (Mesir). Bapa wanita itu berkata (Janganlah engkau kerana sungguh (Engkau telah selamat dari orang-orang yang zalim itu). Yakni dari ancaman Firaun dan kaumnya kerana dirinya tidak ada kuasa di negeri kami di mana engkau tengah berada kini."
Rujukan: 2001: 218-222 (Tafsir al-Tabari)