An-Naml (27) : 45

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan berkata): "Sembahlah kamu akan Allah!" Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah.


TAFSIR 1
Allah swt menceritakan kisah kaum Tsamud dan nabi mereka, Saleh a.s saat ia diutus oleh Allah swt kepada mereka dan mengajak mereka untuk beribadah kepada Allah swt semata yang tiada sekutu bagi-Nya. Mengenai maksud ayat (Tetapi tiba-tiba mereka (menjadi) dua golongan yang bermusuhan) Mujahid berkata "Antara orang mukmin dan orang kafir." Hal ini senada dengan firman Allah swt sebagai berikut. (Pemimpin-pemimpin yang menyombongkan diri berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah iaitu orang-orang yang telah beriman di antara kaumnya, 'Tahukah kamu bahawa Saleh adalah seorang rasul dari Tuhannya?' Mereka menjawab, 'Sesungguhnya kami percaya kepada apa yang disampaikannya.' Orang-orang yang menyombongkan diri berkata, 'Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu percayai) (QS Al-A'raf, 7: 75-76).
Rujukan: 1999: 797-798 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Setelah menyajikan kisah Musa, Daud dan Sulaiman dari Bani Israil, selanjutnya Allah menyajikan kisah bangsa Arab iaitu kaum Tsamud dan saudara mereka, Nabi Saleh. Tujuannya untuk mengingatkan kaum Quraisy bahawa para nabi dahulu dari bangsa Arab menyeru agar beribadah kepada Allah semata sehingga mereka mengetahui bahawa menyembah berhala itu sebagai kesesatan dan tugas para nabi itu, baik dari bangsa Arab mahupun non-Arab, pada hakikatnya sama iaitu menyeru agar beribadah kepada Allah semata. Pada ayat ini dijelaskan bahawa ketika Saleh menyeru mereka agar beribadah kepada Allah semata dan mentaatinya mengenai risalah yang disampaikan dari Allah maka mereka terpecah menjadi dua golongan, satu golongan membenarkan Saleh dan beriman kepada ajaran yang dibawanya dan golongan lain mendustakannya serta kafir kepada ajaran yang dibawanya. Selanjutnya mereka bertengkar dan saling berbantahan. Masing-masing dari mereka mengatakan, "Aku berada di jalan yang hak dan musuhku berada di jalan yang batil."
Rujukan: 2001: 85-87 (Tafsir al-Tabari)