An-Naml (27) : 3
Iaitu mereka yang tetap mendirikan sembahyang dan memberi zakat, sedang mereka pula percaya dengan yakin akan hari akhirat.
TAFSIR 1
Menyatu dengan rangkaian ayat sebelumnya, ditegaskan bahawa Al-Quran menjadi hidayah dan khabar baik hanya bagi orang yang beriman kepadanya, mengikuti, memercayainya, mengamalkan ajaran-ajaran yang ada di dalamnya termasuk melaksanakan solat-solat wajib, menunaikan zakat, percaya kepada hari kiamat, hari kebangkitan dari kubur, pembalasan amal baik dan amal buruk serta percaya kepada syurga dan neraka. Pada ayat lainnya, Allah swt menegaskan fungsi Al-Quran sendiri bagi orang-orang beriman dan orang-orang yang tidak mengimaninya, Allah swt berfirman sebagai berikut. (Katakanlah, Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan). (QS Fusilat, 41: 44) Semuanya itu tiada lain adalah untuk supaya kamu (Muhammad) bisa menjadi pemberi khabar gembira bagi orang-orang yang bertakwa dan pemberi peringatan bagi orang-orang yang membangkang, Allah swt berfirman (Agar dengan itu engkau dapat memberi khabar gembira kepada orang-orang yang bertakwa dan agar engkau dapat memberi peringatan kepada kaum yang membangkang.) (QS Maryam, 19: 97).
Rujukan: 1999: 791-792 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dengan rahmat Allah, keredhaan-Nya dan syurga yang di situ mereka memperoleh kesenangan abadi. Kerana gambaran iman itu abstrak. Maka pada ayat ini Allah menyebutkan beberapa sifat lahiriah sebagai manifestasinya iaitu orang mukmin sejati adalah mereka yang mengerjakan amal soleh, mendirikan solat secara sempurna menurut aturannya, mengeluarkan zakat yang dapat membersihkan harta dan jiwa mereka dari kotoran serta meyakini bahawa mereka akan kembali kepada Tuhan mereka dan bahawa di sana ada suatu hari yang pada waktu itu segala amal baik mahupun buruk dihisab sehingga mereka mencurahkan diri untuk taat kepada-Nya kerana mengharapkan pahaIa-Nya dan takut kepada seksa-Nya.
Rujukan: 2001: 5-7 (Tafsir al-Tabari)