Asy-Syu’araa (26) : 224
وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ
Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala.
TAFSIR 1
Maksud ayat (Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat.) Ibnu Abbas r.a mengertikan bahawa orang-orang kafir selalu dikelilingi dengan kesesatan-kesesatan manusia dan jin. Hal ini senada dengan pendapat Mujahid, Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan sebagainya. Menurut Ikrimah sebab turunnya ayat tersebut mengertikan bahawa ada dua orang penyair yang mendendangkan syairnya. Syair tersebut membuat orang-orang terlena. Kemudian, turunlah ayat ini.
Rujukan: 1999: 791 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah menjelaskan bahawa syaitan-syaitan terhalang untuk menurunkan Al-Quran dan menetapkan bahawa penurunannya adalah dari Tuhan alam semesta. Selanjutnya, Allah menjelaskan bahawa mustahil syaitan turun kepada Rasulullah saw. Syaitan hanya turun kepada setiap pendusta dan penderhaka. Kemudian pada rangkaian ayat-ayat ini (221-227) Allah menerangkan bahawa para pendusta mencurahkan pendengarannya kepada syaitan-syaitan lalu menerima wahyunya iaitu tahayul-tahayul yang tidak sesuai kebenaran dan kenyataan. Pada ayat ini dijelaskan perbezaan antara Muhamad saw dan para penyair. Sesungguhnya para penyair itu diikuti orang-orang yang sesat, yang menyimpang dari jalan lurus dan cenderung kepada kerosakan yang mengakibatkan kebinasaan. Sedangkan para pengikut Muhammad saw tidak demikian tetapi mereka adalah orang-orang yang bersujud, menangis kerana takut kepada Allah. Kemudian, Allah menerangkan kesesatan itu pada ayat-ayat selanjutnya.
Rujukan: 2001: 672-676 (Tafsir al-Tabari)