Ali-Imran (3) : 21
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
TAFSIR 1
Dalam ayat ini Allah swt mencela dan melaknat perbuatan orang-orang Yahudi. Kerana kesombongan mereka mengingkari risalah yang dibawa para nabi, bahkan mereka membunuh para nabi itu. Hal itu dilakukan kerana mereka menganggap risalah itu hanyalah kebohongan. Mereka merasa, apa yang mereka yakini merupakan kebenaran akhir. ltulah kesombongan yang mengantarkan mereka kepada kesesatan. Mereka pun semakin tenggelam dalam keangkuhan. Kerana itu, Rasulullah saw memberikan peringatan keras kepada umat Islam agar tidak bersikap sombong seperti orang Yahudi. Beliau menegaskan, orang yang dalam hatinya terdapat sikap sombong tidak akan masuk syurga. Abu Hatim meriwayatkan dari Abu Ubai dah bin Jarrah, ketika ditanya tentang seksaan yang paling pedih pada hari Akhirat, Rasulullah saw menjawab sebagai berikut. "(Iaitu) orang yang membunuh para nabi atau orang-orang yang melakukan amar makruf nahi mungkar." Beliau kemudian membacakan ayat ini. Rasulullah saw menjelaskan kepada Abu Ubaidah bahawa Bani Israil membunuh 43 nabi pada suatu siang, lalu sore harinya mereka yang berjumlah 170 orang membunuh orang-orang yang melakukan amar makruf nahi mungkar. Itulah kekejian kaum Yahudi. Kerana perbuatan itulah Allah swt menimpakan azab kepada mereka, baik di dunia mahupun di akhirat.
Rujukan: 1999: 167 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Yang dimaksud ayat ini, sesungguhnya orang-orang yang mengingkari hujjah-hujjah Allah dan pengetahuan-Nya, lalu mereka membohonginya, iaitu dua golongan Ahlul Kitab, Taurat dan Injil. Mereka membunuh utusan Allah yang diutus kepada mereka (agar mereka tidak bermaksiat kepada Allah) padahal sudah diperingatkan dalam kitab mereka. Rasul-rasul itu seperti Nabi Zakaria dan anaknya, Nabi Yahya dan kepada nabi-nabi yang mengalami hal serupa. Mereka juga membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil. Khabarkanlah bahawa mereka akan memperoleh seksa yang amat menyakitkan. Muhammad bin Jaafar bin Zubair berkata, "Kemudian Ahlul Kitab berkumpul dan mereka mengatakan hal-hal yang dibuat-buat, mereka adalah dari golongan Yahudi dan Nasrani. Maka turunlah ayat ini, sampai firman-Nya ayat 26 (Wahai Tuhan Pemilik Kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapapun yang Engkau kehendaki). Diriwayatkan dari Ma'qil bin Abu Miskin tentang firman Allah, membunuh para nabi tanpa hak (alasan yang benar) dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil) dia berkata, "Bahawa wahyu telah turun kepada Bani Israil untuk memberi peringatan kepada mereka dan mereka diberikan kitab maka mereka membunuhnya (rasul). Kemudian ada orang yang mengikuti dan membenarkan mereka (rasul), kemudian dia memperingati kaumnya, lalu dia pun dibunuh. Mereka itu orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil."
Rujukan: 2001: 288-292 (Tafsir al-Tabari)