Ali-Imran (3) : 12 (Blok: 12-13)
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan".
TAFSIR 1
Dalam ayat ini Allah swt memerintahkan Rasulullah saw supaya memberi peringatan kepada kaum Yahudi bahawa mereka akan selalu menjadi pecundang baik di dunia mahupun di akhirat. Kelak mereka akan dijadikan mainan sebelum diseret ke dalam neraka Jahanam. Umar bin Qatadah meriwayatkan bahawa setelah kaum muslimin memenangi Perang Badar, Rasulullah saw kembali ke Madinah dan menemui kaum Yahudi yang sedang berkumpul di Pasar Bani Qainuqa. Rasulullah saw mengingatkan bahawa jika mereka tidak ingin tertimpa musibah sebagaimana kafir Quraisy, hendaknya mereka masuk Islam. Mereka malah mencibir beliau dan mengatakan bahawa kekalahan kaum kafir Quraisy semata-mata kerana tidak tahu teknik berperang. Mereka juga mengatakan bahawa Rasulullah saw tidak pantas menyamakan mereka dengan kaum kafir Quraisy. Kerana kesombongan mereka, Allah menurunkan ayat ini.
Rujukan: 1999: 164 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah menyeru, "Wahai Muhammad! Katakanlah kepada orang-orang kafir dari kalangan Yahudi Bani Israil, iaitu mereka yang mengikuti sebahagian ayat-ayat Al-Quran yang mutasyaabihaat, yang Aku turunkan kepadamu, dengan tujuan menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, 'Kamu pasti akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan diiring ke dalam neraka Jahannam."' Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, ia menceritakan bahawa ketika Rasulullah saw memperoleh kemenangan dalam Perang Badar, lalu beliau kembali ke Madinah. Selanjutnya beliau mengumpulkan orang-orang Yahudi di Pasar Bani Qainuqa. Kemudian, beliau bersabda kepada mereka, "Hai orang-orang Yahudi! Masuk Islamlah kalian sebelum kalian mendapat kekalahan seperti apa yang telah ditimpakan Allah atas kaum Quraisy (dalam Perang Badar)." Orang-orang Yahudi menjawab, "Hai Muhammad! Janganlah engkau memperdaya dirimu sendiri hanya kerana engkau telah memerangi segolongan orang-orang Quraisy, mereka adalah orang-orang kampungan yang tidak pandai perang! Demi Allah, jika berhadapan dengan kami, baru kamu ketahui bahawa kami ini orang-orang perang." Maka Allah pun menurunkan (Katakanlah kepada orang-orang yang kafir bahawa kamu pasti akan dikalahkan?sampai dengan firman-Nya, Bagi orang-orang yang mempunyai pandangan batin).
Rujukan: 2001: 238-241 (Tafsir al-Tabari)