Al-Furqaan (25) : 44
Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.
TAFSIR 1
Pada ayat ini Allah menjelaskan bahawa orang-orang musyrik itu lebih sesat dari- pada haiwan ternak sekalipun, setelah pada rangkaian sebelumnya Allah menjelaskan bahawa orang-orang kafir itu hanyalah menjadikan Muhammad sebagai ejekan, padahal mereka telah menempuh jalan yang paling sesat. Ayat ini menekankan bahawa keadaan mereka sama halnya tidak berbeza dengan haiwan, Allah swt berfirman (Atau apakah engkau mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu hanyalah seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat jalannya) iaitu keadaan mereka lebih buruk daripada haiwan ternak yang linglung kerana memang begitulah akal haiwan tersebut diciptakan. Sementara, mereka (orang-orang musyrik) diciptakan untuk menyembah Allah yang Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Sungguh pun bukti yang jelas telah dipaparkan dan para rasul telah diutus, mereka tetap menyembah selain Allah dan mempersekutukan-Nya.
Rujukan: 1999: 770 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Setelah Allah menceritakan perkataan dan perbuatan mereka yang buruk dan mengingatkan Nabi Muhamad saw akan akibat buruk yang akan mereka terima, Allah pun mengisyaratkan bahawa orang-orang seperti itu mustahil akan meninggalkan kesesatannya dengan nasihat dan petunjuk yang diberikan oleh rasul kerana kebanyakan mereka tidak mendengar dan tidak berfikir. Mereka tak ubahnya seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat jalannya daripada binatang ternak itu. Sebab, kadang binatang itu tunduk kepada pemilik yang memeliharanya, mengetahui siapa yang berbuat baik dan buruk kepadanya, mencari apa yang bermanfaat baginya dan menjauhi apa yang berbahaya baginya, menuju ke tempat gembalaan dan tempat minumnya serta berlindung di kandangnya. Berbeza dengan orang-orang itu, mereka tidak tunduk kepada Allah yang telah menciptakan mereka dan memberi mereka rezeki, tidak pula mengetahui bahawa Dia telah memberikan kebaikan kepada mereka dan bahawa syaitan telah berbuat buruk kepada mereka. Selain itu, mereka tidak mengharapkan pahala, tidak pula takut kepada seksa.
Rujukan: 2001: 459-460 (Tafsir al-Tabari)