Al-Furqaan (25) : 41
Dan apabila mereka melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan (sambil mereka berkata): "Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya?
TAFSIR 1
Allah mengabarkan tentang perlakuan orang-orang musyrik yang mengejek Rasulullah saw apabila mereka melihat beliau, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah sebagai berikut. (Dan apabila orang-orang kafir itu melihat engkau (Muhammad), mereka hanya memperlakukan engkau menjadi bahan ejekan) (QS Al-Anbiyak, 21: 36) dengan maksud menjadikan beliau bahan celaan dan kritikan. Allah berfirman (Dan apabila mereka melihat engkau (Muhammad), mereka hanyalah menjadikan engkau sebagai ejekan (dengan mengatakan) 'Inikah orangnya yang diutus Allah sebagai rasuI?) yakni bertanya dengan cara mencemuh dan meremehkan lalu Allah pun mencela mereka sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah sebagai berikut. (Dan sungguh, rasul-rasul sebelum engkau (Muhammad) pun telah diperolok-olokkan, maka turunlah (seksaan) kepada orang-orang yang mencemuhkan apa (rasul-rasul) yang selalu mereka perolok-olokkan) (QS Al-Anbiyak, 21: 41)
Rujukan: 1999: 770 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Kaum musyrik tidak berhenti hanya sampai kepada mencela dan melontarkan tuduhan terhadap Nabi saw tetapi terus berusaha mencemuh dan merendahkan darjatnya sehingga sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, "Inikah orangnya yang di utus Allah sebagai Rasul?" Bahkan lebih dari itu, mereka menyebut dakwah beliau sebagai penyesatan. Maka, Allah menyanggah perkataan mereka dan menjelaskan bahawa mereka akan mengetahui sendiri akibat perbuatannya iaitu ketika menyaksikan azab, siapa sebenarnya yang sesat dan siapa yang menyesatkan. Pada ayat ini Allah menjelaskan bentuk cemuhan kaum musyrik terhadap Rasulullah saw iaitu jika orang-orang musyrik yang telah diceritakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw itu melihatnya, maka mereka menjadikan nabi sebagai bahan ejekan dan perolokan. Mereka melontarkan kata-kata itu tentangnya. Kemudian Allah mengemukkan apa yang menurut mereka menambah kejelekan rasul.
Rujukan: 2001: 458 (Tafsir al-Tabari)