An-Nuur (24) : 61
Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.
TAFSIR 1
Ad-Dhahhak berkata, "Sebelum Islam datang, mereka (orang buta, orang pincang dan orang sakit) enggan makan bersama orang yang normal lantaran merasa diri mereka kotor dan rendah. Lalu turunlah ayat ini." Firman Allah (Tidak ada halangan bagi orang buta) dan ayat seterusnya, Mujahid berkata, "Dahulu seseorang pergi bersama orang yang buta atau orang yang pincang atau orang yang sakit ke rumah ayahnya atau ke rumah saudara lelakinya, ke rumah saudara perempuannya, ke rumah saudara-saudara bapanya yang lelaki, ke rumah saudara-saudara bapanya yang perempuan, ke rumah saudara-saudara ibunya yang lelaki atau ke rumah saudara-saudara ibunya yang perempuan. Ajakannya ke rumah-rumah mereka membuat orang-orang yang lemah itu tidak selesa. 'Sungguh, orang-orang itu hanya membawa kita ke rumah selain rumah mereka,' keluh mereka. Lalu turunlah ayat ini sebagai rukhshah bagi mereka." (Riwayat Abdul Razak) Firman Allah (Tidak (pula) bagi dirimu, makan (bersama-sama mereka) di rumah kamu) hal ini sengaja disebutkan walaupun hukumnya sudah diketahui, tujuannya adalah untuk mengathafkan lafaz yang lainnya dan untuk menunjukkan status hukum yang sama dengan lafaz yang disebutkan setelahnya. Ayat ini mencakup juga rumah anak sendiri kerana memang tidak disebutkan di dalam teks ayat.
Rujukan: 1999: 760-761 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Para ahli takwil berbeza pendapat seputar sebab turunnya ayat ini. Sebahagian ahli takwil berpendapat, ayat ini turun sebagai bolehnya orang-orang muslim makan bersama orang-orang buta, pincang, sakit dan Az-Zamanah (pengidap suatu penyakit). Sebelumnya, mereka melarang makan bersama mereka kerana khawatir terkena larangan Allah swt. Ad-Dhahhak menjelaskan firman-Nya (Tidak ada halangan bagi orang buta) iaitu penduduk Madinah sebelum diutusnya Nabi saw, mereka tidak mahu makan bersama orang buta ataupun orang sakit. Sebahagian mereka berkata, "Makan bersama mereka menjijikkan." Sebahagian lain berkata, "Orang sakit tidak bisa merasakan makanan seperti orang sihat. Orang pincang tidak dapat bergegas-gegas makan sedangkan orang buta tidak dapat melihat makanan yang baik. Lalu Allah swt menurunkan firman-Nya (Tidak ada halangan bagi orang buta) ini pembolehan makan bersama orang sakit, buta dan pincang. Sebahagian ahli takwil berpendapat, ayat ini turun kepada Az-Zamanah (pengidap suatu penyakit) untuk makan di rumah mereka. Sebahagian lain berpendapat, ayat ini keringanan kepada Az-Zamanah (pengidap suatu penyakit) yang sifat-sifat mereka disebutkan dalam ayat ini, untuk makan di rumah mereka setelah berperang. Ini pendapat Az-Zuhri. Sebagian lain berpendapat, ayat ini merupakan keringanan kepada kaum Muslimin yang tidak mahu memberi makan Az-Zamanah. Yang mendekati kebenaran, menurut hemat penulis adalah pendapat Az-Zuhri.
Rujukan: 2001: 365-384 (Tafsir al-Tabari)