An-Nuur (24) : 58
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
TAFSIR 1
Ayat-ayat yang mulia di atas meliputi penjelasan tentang permintaan izin yang harus dilakukan oleh orang yang mempunyai hubungan kekerabatan satu sama lain sedangkan yang telah disebutkan dalam permulaan surah adalah permintaan izin yang harus dilakukan oleh ajanib (orang yang tidak ada hubungan kekerabatan) satu sama lain. Dengan turunnya ayat ini, Allah swt memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar pelayan mereka dari hamba sahaya yang mereka miliki dan anak-anak mereka yang belum baligh meminta izin dalam tiga waktu. Pertama, sebelum solat subuh kerana orang pada waktu tersebut sedang tidur lelap di atas tilam mereka. Kedua seperti yang disebutkan dalam firman Allah (Ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari) iaitu ketika waktu qailulah (tidur singkat di siang hari) kerana pada waktu itu terkadang orang-orang melepaskan pakaian mereka untuk istirahat bersama keluarga. Ketiga seperti yang disebutkan dalam firman Allah (Dan setelah solat Isyak) kerana waktu tersebut adalah waktu yang dipergunakan untuk tidur. Allah berfirman ((ltulah) tiga aurat (waktu) bagi kamu. Tidak ada dosa bagimu dan tidak (pula) bagi mereka selain dari (tiga waktu) itu) maksudnya jika mereka masuk pada suatu kesempatan selain tiga kesempatan tersebut maka tidak ada dosa bagi kamu dalam memberikan keleluasaan bagi mereka dalam hal itu dan tidak pula ada dosa bagi mereka jika mereka melihat sesuatu pada selain tiga kesempatan tersebut.
Rujukan: 1999: 756-757 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Para ahli takwil berbeza pendapat seputar firman-Nya (Hendaklah hamba sahaya (lelaki dan perempuan) yang kamu miliki dan orang-orang yang belum baligh (dewasa) di antara kamu meminta izin kepada kamu) Sebahagian ahli takwil mengatakan, ayat ini ditujukan kepada hamba lelaki dan tidak kepada hamba-hamba wanita. Sebahagian lain menyebutkan bahawa ayat ini ditujukan kepada hamba lelaki dan wanita. Penulis sependapat dengan pendapat kedua kerana firman Allah (Hendaklah hamba sahaya (lelaki dan perempuan) yang kamu miliki) bersifat umum meliputi hamba lelaki dan wanita. Firman-Nya (Dan orang-orang yang belum baligh (dewasa) di antara kamu) iaitu bagi orang-orang yang merdeka namun belum baligh mesti meminta izin sebanyak tiga kali iaitu tiga waktu di siang dan malam hari. Firman-Nya (Tiga aurat (waktu) bagi kamu) tiga waktu yang Kami perintahkan agar tidak boleh masuk orang-orang yang Kami sebutkan tadi tanpa seizin kalian. Tiga aurat kalian kerana pada waktu itu kalian sedang melepas pakaian kalian dan bersantai bersama keluarga. Firman-Nya (Tidak ada dosa bagimu dan tidak (pula) bagi mereka selain dari (tiga waktu) itu, mereka keluar masuk melayani kamu) yakni tidak dosa bagi kalian wahai para pembantu, hamba lelaki dan wanita dan orang yang belum baligh di antara kamu untuk masuk tanpa izin pada selain tiga waktu aurat tadi.
Rujukan: 2001: 351-357 (Tafsir al-Tabari)