An-Nuur (24) : 55
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
ASBAB 1
Imam Al-Hakim meriwayatkan sebuah hadis dan disahihkan oleh Imam At-Thabrani dari Ubay bin Kaab, dia berkata "Tatkala Rasulullah saw dan para sahabat sampai di Madinah, beliau dan para sahabat selalu terancam oleh orang Arab yang ada di Madinah sehingga mereka tidak pernah melepaskan senjata mereka pada siang dan malam hari. Mereka berkata kepada beliau 'Bilakah anda dapat melihat kami hidup aman dan tenteram, tidak takut terkecuali hanya kepada Allah?' Kemudian Allah menurunkan ayat ini." Ibnu Abi Hatim juga meriwayatkan dari Al-Bara, dia berkata "Ayat ini turun tentang kami, sedang saat itu kami tengah berada dalam ketakutan yang sangat."
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)