An-Nuur (24) : 37
(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
TAFSIR 1
Ayat (Orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual-beli dari mengingat Allah?) seperti substansi ayat (QS Al-Munafiqun, 63: 9) dan (QS Al-Jumuah, 62: 9). Allah menyatakan di dalam ayat tersebut bahawa dunia dan segala perhiasannya serta kesenangan akan jual-beli dan keuntungannya tidaklah menyibukkan mereka dari mengingat Tuhan yang telah menciptakan dan memberi mereka rezeki. Dan juga orang-orang yang mengetahui bahawa apa yang berada di sisi-Nya itu lebih baik dari apa yang mereka miliki dan lebih bermanfaat bila dibandingkan apa yang berada dalam genggaman mereka kerana apa yang mereka miliki pasti akan habis sedangkan apa yang berada di Sisi Allah itu kekal. Oleh kerana itu, Allah berfirman (Orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual-beli dari mengingat Allah, melaksanakan solat dan menunaikan zakat) maksudnya adalah mereka lebih mendahulukan taat, kehendak dan kecintaan Allah daripada kehendak dan kesenangan mereka sendiri. Salim menceritakan bahawa Abdullah Ibnu Umar r.a saat itu sedang berada di pasar kemudian datanglah waktu solat. Lalu para sahabat lekas menutup kedai-kedai mereka untuk masuk ke masjid. Ibnu Umar pun berkata, "Pada merekalah turun ayat (Orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual-beli dari mengingat Allah). (HR Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir) Maksud firman Allah (Mereka takut kepada hari ketika hati dan penglihatan menjadi goncang) adalah hari kiamat ketika hati dan penglihatan menjadi goncang iaitu kerana rasa takut yang benar-benar dahsyat dan teruk yang luar biasa besarnya.
Rujukan: 1999: 753-754 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini menjelaskan kelanjutan dari ayat sebelumnya, bahawa orang-orang yang solat di masjid, yang diterangkan pada ayat sebelumnya adalah orang-orang yang jual beli dan perniagaan tidak membuat mereka IaIai untuk beribadah kepada Allah, pendapat ini disandarkan kepada riwayat Said bin Abi Hassan dari seorang lelaki yang ia lupa namanya namun ada banyak riwayat-riwayat serupa yang menguatkan. Sebahagian ahli tafsir menambahkan bahawa jual beli dan perniagaan itu tidak melalaikan mereka dari melaksanakan solat-solat fardu, pendapat ini disandarkan kepada riwayat Ibnu Abbas. Keterangan lainnya yang mengikat adalah mereka juga tidak ketinggalan dalam pelaksanaannya tepat di awal waktu, riwayat ini disandarkan kepada Auf, ia berkata bahawa ia lupa nama lelaki yang menerangkan ayat ini, bahawa mereka pun melaksanakan solat tepat di awal-awal waktu pelaksanaan solat itu. Adapun maksud dari penggalan ayat (Dan menunaikan zakat) maksudnya adalah mereka menunaikan zakat dengan penuh keikhlasan kerana taat kepada Allah.
Rujukan: 2001: 315-321 (Tafsir al-Tabari)