Al-Hajj (22) : 74
Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
TAFSIR 1
Maksud firman Allah (Mereka tidak mengagungkan Allah dengan sebenar-benarnya) adalah bahawa mereka tidak mengetahui hakikat kekuasaan dan keagungan Allah sehingga mereka menyembah selain Dia, baik berupa berhala mahupun bebatuan yang sesungguhnya melawan lalat pun tidak akan mampu kerana begitu lemahnya. Maksud firman Allah (S ungguh, Allah Maha Kuat) adalah bahawa Allah sangat kuat dengan segala kekuasaan-Nya dalam menciptakan segala sesuatu. Allah berfirman (Dan Dialah yang memulai penciptaan kemudian mengulanginya kembali dan itu lebih mudah bagi-Nya) (QS Ar-Rum, 30: 27) (Sungguh, azab Tuhanmu sangat keras. Sungguh, Dialah yang memulai penciptaan (makhluk) dan yang menghidupkannya (kembali)) (QS Al-Buruj, 85: 12-13) (Sungguh Allah, Dialah Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh) (QS Az-Zariyat, 51: 58) Maksud dari firman Allah (Maha Perkasa) adalah bahawa Allah sangat perkasa dan mampu menundukkan segala sesuatu tanpa terkecuali, tidak ada yang dapat mengalahkan keagungan dan kekuasaan-Nya. Dialah satu-satunya Zat yang Maha Menundukkan.
Rujukan: 1999: 723 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya, dijelaskan bahawa mereka menyembah selain Allah yang kebenarannya tidak dibuktikan dengan hujjah dari wahyu, tidak pula dengan dalil akal. Pada rangkaian ayat-ayat ini (73-76), Allah menyajikan sesuatu yang membatalkan penyembahan itu dan menegaskan kejahilan mereka tentang kedudukan uluhiyyah serta pengagungan yang patut diberikan kepada-Nya. Sementara pada ayat ini ditegaskan pengingkaran terhadap para penyembah tuhan dari kaum musyrik Quraisy iaitu mereka tidak mengangungkan-Nya dengan pengagungan yang sebenarnya kerana mereka menyembah selain-Nya, yakni berhala-berhala yang tidak dapat melawan lalat kerana lemahnya tidak pula dapat merebut kembali sesuatu yang telah dirampasnya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuat, tidak ada sesuatu pun yang Dia berhalangan melakukannya dan dengan kekuasaan-Nya Dia menciptakan segala sesuatu. Dia Maha Perkasa, tidak terkalahkan kerana keagungan dan kekuasaan-Nya, tidak ada sesuatu pun kuasa merampas sedikit pun dari kerajaan-Nya, Dia tidak seperti tuhan-tuhan kalian yang kalian seru selain Allah.
Rujukan: 2001: 635-638 (Tafsir al-Tabari)