Al-Hajj (22) : 39
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
TAFSIR 1
Ayat ini merupakan ayat pertama yang menjelaskan diperbolehkannya berperang atau berjihad. Al-Aufi meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas berkata, "Ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad dan para sahabat ketika mereka diusir dari Mekah." Mujahid, Ad-Dhahhak dan beberapa ulama salaf seperti Ibnu Abbas, Urwah bin Zubair, Zaid bin Aslam, Muqatil bin Hayyan serta Qatadah berkata, "Ayat ini merupakan ayat pertama yang menjelaskan diperbolehkannya berperang atau berjihad." Maksud dari firman Allah (Dan sungguh, Allah Maha Kuasa menolong mereka itu) adalah bahawa Allah sesungguhnya mampu melindungi hamba-hamba-Nya yang beriman dan menghindarkan mereka dari peperangan tetapi Dia ingin melihat mereka mengerahkan kekuatan mereka dalam membela agama-Nya. Allah menurunkan perintah untuk berperang pada waktu yang tepat iaitu setelah mereka diusir dari Mekah. Maksud dari itu adalah bahawa jika Allah memerintahkan kaum muslimin untuk memerangi kaum musyrikin selagi mereka masih Mekah, jumlah kaum muslimin kalah jauh dibandingkan dengan kaum musyrikin sehingga akan terlalu berat bagi mereka memerangi musuh-musuh Allah.
Rujukan: 1999: 717 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat ini, dijelaskan bahawa orang-orang beriman diberi keringanan dan dibolehkan untuk memerangi kaum musyrik kerana penganiayaan terhadap mereka. Kaum musyrik menimpakan penganiayaan yang sangat berat kepada Rasulullah saw dan para sahabatnya. Namun saat itu Nabi belum diizinkan untuk berperang sehingga beliau hijrah dan Allah menurunkan ayat ini, ayat pertama mengenai pemberian izin berperang. Kemudian Allah menjanjikan akan memberi kemenangan kepada mereka dan menolak penganiayaan kaum musyrik dari mereka kerana Allah Maha Kuasa untuk menolong kaum mukmin yang berperang di jalan-Nya. Dia telah melaksanakan janji itu maka Dia memuliakan dan meninggikan darjat mereka serta membinasakan musuh dengan kekuatan mereka. Dalam gaya bahasa ini, terdapat penekanan yang menambah kemantapan tekad kaum mukmin untuk berjihad di jalan Allah.
Rujukan: 2001: 571-577 (Tafsir al-Tabari)