Al-Hajj (22) : 38
Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.
TAFSIR 1
Dalam ayat ini, Allah swt memberitahukan bahawa Dia sentiasa membela hamba-hamba-Nya yang mahu menyerahkan segala urusan mereka kepada-Nya, termasuk kemungkinan dizalimi oleh orang-orang jahat. Allah akan menjaga, menenangkan dan memenangkan mereka. Allah swt berfirman (Bukankah Allah yang mencukupi hamba-Nya?) (QS Az-Zumar, 39: 36) (Dan barang siapa bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.)(QS At-Talaq, 65: 3) Maksud dari firman Allah (Sungguh Allah tidak menyukai setiap orang yang berkhianat dan kufur nikmat) adalah bahawa sesungguhnya Allah swt tidak menyukai hamba-Nya yang memiliki dua sifat itu, iaitu berkhianat atas janji dan sumpah, tidak menunaikan apa yang telah diucapkannya dan tidak mengakui atau tidak merasa bahawa nikmat itu datangnya dari Allah swt.
Rujukan: 1999: 716 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah menjelaskan tentang kaum musyrik yang menghalang-halangi manusia dari memeluk agama Allah dan berziarah ke masjidilharam. Kemudian menerangkan manasik haji dan menjelaskan bahawa pada ibadah itu terdapat berbagai manfaat agama dan dunia. Pada rangkaian ayat-ayat ini (38-41), Allah menjelaskan apa yang menghilangkan penghalang itu dan memberi jaminan untuk dapat melaksanakan kewajiban tersebut secara sempurna. Sementara pada ayat ini, dijelaskan bahawa Allah melindungi para hamba-Nya yang bertawakal dari kejahatan dan tipudaya orang-orang derhaka, menolong mereka atas musuh serta menuliskan kemenangan mereka atasnya. Kemudian Allah menerangkan mengapa mereka diancam demikian (Sungguh Allah tidak menyukai setiap orang yang berkhianat dan kufur nikmat) Allah menolak dan mengatakan mereka demikian tiada lain disebabkan mereka mengkhianati amanat Allah iaitu perintah dan larangan-Nya, mengingkari nikmat yang dilimpahkan kepada mereka setiap waktu serta menyembah selain Allah. Di sini terdapat isyarat bahawa kaum mukmin adalah orang-orang yang dicintai Allah.
Rujukan: 2001: 571 (Tafsir al-Tabari)