Al-Hajj (22) : 19
Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,
TAFSIR 1
Abu Dzar mengatakan bahawa dirinya berani bersumpah bahawa ayat ini diturunkan kepada Hamzah beserta dua sahabatnya dan Atabah berserta dua sahabatnya yang bertempur satu lawan satu dalam Perang Badar. Ibnu Abi Najih mengutip pernyataan Mujahid tentang ayat ini, "Seperti orang mukmin dan orang kafir yang bertengkar pada hari Kebangkitan." Mujahid dan Atha berkata tentang ayat ini, "Maksud dari dua golongan dalam ayat ini adalah kaum mukmin dan kaum kafir." Perkataan Mujahid dan Atha ini lebih umum sehingga dapat mencakup (membenarkan) semua riwayat tentang Asbabun Nuzul ayat ini termasuk riwayat yang dilatarbelakangi kisah dalam Perang Badar. Maksud ayat (Maka bagi orang kafir akan dibuatkan pakaian-pakaian dari api (neraka) untuk mereka) adalah bahawa potongan-potongan api akan dililitkan ke tubuh mereka. Said bin Jubair mengatakan bahawa maksudnya adalah kuningan yang merupakan logam yang paling mudah panas saat dimasukkan ke dalam api. Maksud potongan ayat (Ke atas kepala mereka akan disiramkan air yang mendidih) adalah dengan air yang paling mendidih. Air itu akan meluluhlantakkan apa yang ada dalam perut dan kulit mereka.
Rujukan: 1 999: 709 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah swt menyebutkan enam golongan dan menjelaskan bahawa Dia akan mengambil keputusan di antara mereka kerana Dia Maha Tahu tentang segala ihwal, perbuatan dan perkataan mereka. Pada rangkaian ayat-ayat ini (19-24), Allah menampilkan dua golongan yang berselisih, menentukan objek perselisihannya dan menjelaskan kesudahan dari dua golongan itu, berupa kehinaan dan kemuliaan, azab dan kenikmatan. Sementara pada ayat ini dijelaskan bahawa para pemeluk agama dari keenam agama itu terbagi menjadi dua golongan, golongan mukmin kafir dan golongan kafir iaitu para pemeluk lima agama terdahulu. Mereka saling bertengkar tentang agama Allah. Selanjutnya, Allah menerangkan kesudahan setiap golongan dan balasan yang diterimanya setelah Allah mengambil keputusan di antara mereka. Di antara balasan yang diterima oleh golongan kafir adalah disediakannya api neraka yang meliputi mereka seakan api itu adalah pakaian yang ditetapkan sesuai dengan ukuran tubuh mereka masing-masing.
Rujukan: 2001: 489-496 (Tafsir al-Tabari)