Al-Anbiyaa’ (21) : 105
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh".
TAFSIR 1
Allah berfirman (Dan sungguh, telah Kami tulis di dalam Zabur setelah (tertulis) di dalam Az-Zikr (Lauh Mahfuz)) Said bin Jubair ditanya A'masy mengenai firman Allah ini maka ia berkata, "Yakni di dalam Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran." Mujahid menuturkan bahawa yang dimaksud Zabur adalah Al-Kitab. Ibnu Abbas, Asy-Sya'bi, Hassan, Qatadah dan pentafsir lainnya mengatakan, Zabur adalah kitab yang diturunkan Allah kepada Daud a.s. Az-Zikr adalah Injil. Zabur merupakan kitab setelah Az-Zikr. Az-Zikr adalah Ummul Kitab (Lauh Mahfuz) di Sisi Allah. Zaid bin Aslam berpandangan bahawa kata Az-Zikr bermakna kitab yang pertama. Ats-Tsauri mengatakan bahawa kata Az-Zikr bermakna Lauh Mahfuz. Mujahid meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa makna penggalan ayat (Bahawa Bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh) adalah tanah syurga. Aliyah, Mujahid, Said bin Jubair, Asy-Sya'bi, Qatadah, As-Saddi, Abu Shalih, Ar-Rabi binAnas dan Ats-Tsauri menyuarakan pendapat senada dengan Ibnu Abbas r.a.
Rujukan: 1999: 703-704 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dunia diwarisi hanya oleh orang yang sanggup memperbaikinya, menggunakan berbagai kekayaannya dan memanfaatkan segala apa yang ada di bahagian luar serta bahagian dalamnya. Barang siapa memiliki otak yang cemerlang dan fikiran yang bijaksana, dia akan memiliki dan menguasainya, memetik buahnya serta mendapat petunjuk untuk menggali kekayaan yang dipendamnya. Kemudian Allah menjelaskan bahawa berbagai syariat dan petunjuk yang diwahyukan-Nya kepada rasul sudah sangat cukup bagi orang yang mahu mengambil pelajaran dari sunnah-sunnah Allah yang terdapat di dalam alam sehingga dia dapat mengambil daripadanya apa yang bermanfaat baginya dalam urusan agama atau dunianya sebab seluruh hukum syariat yang dibawa oleh wahyu adalah petunjuk dan peringatan jika memang mahu memikirkannya. Pada ayat ini, dijelaskan bahawa Allah telah mencatat di sisi-Nya segala sesuatu dan telah menetapkan di dalam ilmu-Nya yang azali yang tidak mungkin terlupakan kemudian telah ditetapkan pula di dalam kitab-kitab samawi bahawa Bumi ini hanya akan dimakmurkan oleh para hamba-hamba-Nya yang memang pantas untuk memakmurkannya.
Rujukan: 2001:431-437 (Tafsir al-Tabari)