Al-Anbiyaa’ (21) : 75 (Blok: 73-75)
Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari orang-orang yang soleh.
TAFSIR 1
Allah swt memberitahukan bahawa Dia telah menyelamatkan nabi-Nya, Ibrahim a.s dari jilatan api membara dan mengeluarkannya dari negeri derhaka itu untuk berhijrah menuju tanah Syam iaitu salah satu tempat suci di sana. Kemudian Allah swt memberinya anugerah. Ibnu Abbas, Qatadah dan Hakam bin Uyainah menuturkan bahawa makna anugerah di sini adalah anak-cucu kerana Yaaqub adalah anak dari Ishaq a.s. dan Ishaq anak dari Ibrahim a.s. Allah swt juga mengatakan ini dalam firman-Nya yang lain (Maka Kami sampaikan kepadanya khabar gembira tentang (kelahiran) Ishak dan setelah Ishaq (akan lahir) Yaaqub). (QS Hud, 11: 71) Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam menuturkan bahawa pada awalnya Ibrahim meminta satu keturunan kerana itu ia berdoa (Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh) (QS As-Saffat, 37: 100) dan Allah mengurniakan kepadanya Ishaq dan menambahkan kepadanya Yaaqub sebagai anak dari keturunannya (cucu). Seluruh keturunan yang Allah swt sebutkan tadi tergolong orang soleh dan dekat dengan Rabbnya. Allah jadikan mereka pemimpin yang diikuti kaumnya, menyebarkan dakwah untuk memberi hidayah dengan perintah Allah. Oleh kerana kesolehan ini kemudian Allah swt menyebutkan dan Kami wahyukan kepada mereka agar berbuat kebaikan, melaksanakan solat dan menunaikan zakat" Keseluruhan amal soleh ini menjadi kalimat khusus yang diathafkan kepada kalimat umum sebelumnya. Maksud firman Allah (Dan hanya kepada Kami mereka menyembah) adalah mereka mengerjakan amalan soleh yang mereka perintahkan kepada manusia agar mengerjakannya. Setelah mengisahkan Ibrahim, Allah swt menyertakan kisah Luth iaitu Luth bin Haran bin Azar yang beriman kepada Ibrahim, mengikuti risalahnya dan berhijrah bersamanya. Allah swt memberikan kepada Luth hikmah dan ilmu kemudian memberikan wahyu kepadanya serta menjadikannya seorang nabi Allah juga. Kemudian Allah swt mengutusnya menjadi rasul-Nya kepada penduduk Sodom untuk membasmi perilaku mereka yang amoral.
Rujukan: 1999: 696 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat terdahulu dijelaskan bahawa Allah telah memuliakan Ibrahim dengan menyelamatkannya dari api. Kemudian dalam rangkaian ayat-ayat ini (71-75) Allah menjelaskan bahawa Dia mengeluarkan Ibrahim di antara kaumnya untuk berhijrah ke negeri Syam yang penuh berkah lalu memberinya keturunan iaitu Ishaq dan putranya (Yaaqub), yang termasuk orang-orang soleh dan bertakwa, yang diteladani dan perintahnya ditaati. Allah telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada Ibrahim. Kemudian Allah menyajikan beberapa kenikmatan yang dilimpahkan-Nya kepada Ibrahim a.s antara lain, Allah telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah-Nya dan telah diwahyukan kepada mereka mengerjakan kebajikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan hanya kepada Allah-lah mereka selalu menyembah.
Rujukan: 2001: 315-318 (Tafsir al-Tabari)