Al-Anbiyaa’ (21) : 3
Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: "Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?"
TAFSIR 1
Maksud firman Allah, (Dan orang-orang yang zalim itu merahsiakan pembicaraan mereka) adalah mereka mengatakan hal yang tidak pantas secara diam-diam (agar tidak ketahuan). Firman Allah ((Orang) ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang manusia (juga) seperti kamu) maksud arah pembicaraan mereka adalah diri Rasulullah saw yang mereka ingkari dan dicemuhkan sebagai nabi kerana dalam benak mereka sangat tidak pantas dan tidak istimewa jika nabi berasal dari kalangan manusia jua. Kerana Muhammad seorang manusia juga, mengapa Allah swt hanya mengkhususkan wahyu kepadanya tanpa menyertakan mereka. Oleh kerana itu, Allah mengisahkan perkataan mereka (Apakah kamu menerimanya (sihir itu) padahal kamu menyaksikannya?) yakni apakah orang-orang yang didakwahi Rasulullah saw rela mengikuti ajaran yang dibawanya. Jika ada yang mengikuti Rasulullah saw, bagi mereka sama halnya seperti orang yang mengetahui hakikat sihir tetapi ia terbawa arus dan menerima sihir tersebut (seperti orang awam lain yang tidak mengetahui sihir).
Rujukan: 1999: 688 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini berkenaan dengan beberapa pengajaran yang dapat diambil dari kisah Nabi Muhammad saw iaitu setelah para tokoh dan bangsawan Quraisy terkemuka mulai merasakan bahawa ajaran Muhammad itu merupakan bahaya besar bagi kedudukan mereka. Mereka pun mulai menyerangnya dengan cara mendiskreditkannya dan mendustakan kerasulan Muhammad saw serta wahyu yang dibawanya dengan berbagai ejekan dan cemuhan. Mereka mengatakan, "Orang ini tidak lain hanyalah seorang manusia (jua) seperti kamu maka apakah kamu menerima sihir itu padahal kamu menyaksikannya?" Ayat ini juga menjelaskan keadaan manusia yang lalai dari penghisaban segala amalan mereka pada hari Kiamat padahal Kiamat itu telah dekat kepada mereka. Demikian itu kerana mereka tidak mentadaburi hikmah-hikmah yang terkandung di dalam Al-Quran dan tidak menafakuri bukti-bukti yang telah Allah perlihatkan kepada mereka.
Rujukan: 2001: 222-224 (Tafsir al-Tabari)