Taahaa (20) : 114
Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".
TAFSIR 1
Ayat (Dan janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa (membaca) Al-Quran sebelum selesai diwahyukan kepadamu) senada dengan ayat berikut. (Jangan engkau (Muhammad) gerakkan Iidahmu (untuk membaca Al-Quran) kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya Kami yang akan mengumpulkannya (di dadamu) dan membacakannya. Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian sesungguhnya Kami yang akan menjelaskannya). (QS Al-Qiyamah, 75: 16-19) Dalam hadis sahih yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a disebutkan bahawa Rasulullah saw bila mana wahyu (Al-Quran) turun kepada beliau, Nabi saw segera mempercepat gerakan kedua bibirnya maka Allah menurunkan ayat ini. Hadis ini mendeskripsikan keadaan Nabi saw apabila datang Jibril a.s kepada beliau. Setiap Jibril membacakan satu ayat, Nabi saw tergesa-gesa menggerakkan bibirnya sehingga mengikuti dan hampir berbarengan dengan Jibril kerana teramat inginnya beliau untuk cepat menghafal Al-Quran yang disampaikan. Allah berfirman, (Dan janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa (membaca) AI-Quran sebelum selesai diwahyukan kepadamu) iaitu diamlah sejenak demi menyimak ayat yang dibacakan. Setelah malaikat Jibril a.s selesai membacakannya, barulah kamu melafazkannya. Maksud ayat (Dan katakanlah, ?Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku?) adalah mintalah kepada Tuhanmu untuk terus menambahkan ilmu kepadamu. Ibnu Uyaynah r.a menuturkan bahawa Nabi saw selalu bertambah ilmunya sehingga detik terakhir beliau dipanggil ke haribaan Allah swt.
Rujukan: 1999: 684 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt berfirman, "Dengan ibadah dari semua makhluk kepada Allah swt, maka Maha Tinggilah kerajaan yang mengalahkan segala raja dan penguasa. Demikian pula, Maha Tinggilah kebenaran Allah swt dari segala perkataan orang-orang musyrik tentang-Nya. Wahai Muhammad, janganlah engkau tergesa-gesa membaca Al-Quran agar engkau membacakannya di hadapan para sahabatmu, selagi wahyu itu belum selesai diturunkan dan dijelaskan." Nabi ditegur oleh Allah swt kerana beliau tergesa-gesa mencatat wahyu sebelum dijelaskan segala maknanya. Ada yang mentafsirkan, "Janganlah kamu bacakan dan diktekan wahyu sampai Kami menjelaskannya kepadamu." Demikian diriwayatkan dari Mujahid. Sementara ayat (Dan katakanlah, "Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku") bermakna, "Katakanlah wahai Muhammad, 'Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmu yang Kau ajarkan kepadaku."' Allah swt memerintahkan beliau untuk banyak bertanya tentang berbagai faedah ilmu yang ia tidak ketahui.
Rujukan: 2001: 180-181 (Tafsir al-Tabari)