Al-Kahfi (18) : 46
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
TAFSIR 1
Firman Allah swt (Harta dan anak-anak) senada dengan firman-Nya yang lain, "Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia, cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. ltulah kesenangan hidup di dunia dan di Sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. " (QS Ali 'Imran, 3: 14) Maka menghadaplah kepada Allah dan tidak selalu menyibukkan diri, tidak menyayangi dengan berlebih dan membutakan mata hati terhadap anak-anak, harta dan isteri. Allah swt berfirman (Tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di Sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan) Ibnu Abbas, Said bin Jubair dan banyak para ulama salaf bersepakat (Amal kebajikan yang terus-menerus) adalah solat wajib lima waktu. Atha bin Abi Rabah dan Said bin Jubair menuturkan, Ibnu Abbas r.a mengatakan (Amal kebajikan yang terus-menerus) adalah perkataan subhanallah, alhamdulillah, la ilaha illallah dan allahu akbar. Inilah juga jawapan Amirul Mukminin, Ali r.a yang diriwayatkan Imam Ahmad, ketika ditanya apakah Amal kebajikan yang terus-meneru itu? Ali menjawab, "Ialah perkataan seorang hamba subahanallah, alhamdulillah, allahu akbar dan la hawla wa la quwwata illa billahil aliyyil azhim." Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam menuturkan makna (Amal kebajikan yang terus-menerus) seluruh amal baik. Pendapat inilah yang dipilih Ibnu Jarir.
Rujukan: 1999: 640 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan, "Harta dan anak-anak, wahai sekalian manusia seperti yang pernah dibangga-banggakan Uyainah dan Al-Aqra di hadapan Salman, Khabbab dan Shuhaib, itu semua hanya perhiasan dunia yang tidak berpengaruh apa-apa di akhirat kelak." (Tetapi amal kebajikan yang terus-menerus adalah lebih baik pahalanya di Sisi Tuhanmu). Allah swt menegaskan, apa yang dikerjakan Salman, Khabbab dan Shuhaib berupa ketaatan kepada Allah swt dengan selalu berdoa kepada-Nya pada waktu pagi dan petang kerana mengharapkan wajah-Nya, itulah amalan-amalan yang abadi setelah kefanaan kehidupan dunia. Itu lebih baik wahai Muhammad, pahalanya di Sisi Tuhanmu dibandingkan harta dan anak-anak yang sering dibanggakan orang-orang musyrik iaitu keduanya akan sirna dan tidak akan pernah kekal abadi di tangan pemiliknya. Firman-Nya (Serta lebih baik untuk menjadi harapan) apa yang diharapkan Salman, Shuhaib dan Khabbab adalah sebaik-baik harapan dan cita-cita dibandingkan harapan Uyainah dan Al Aqra terhadap harta dan keturunan mereka. Para ahli takwil berbeza pendapat seputar makna amalan-amalan yang kekal lagi soleh, ada yang berpendapat solat lima waktu, ada yang mengatakan zikir kepada Allah swt dengan ucapan tasbih, tahlil dan lainnya. Pendapat lain menyebutkan iaitu ketaatan kepada Allah swt, ada juga yang menegaskan bahawa itu ucapan yang baik. Pendapat yang benar, mencakup seluruh amalan kebaikan.
Rujukan: 2001: 273-281 (Tafsir al-Tabari)