Al-Israa’ (17) : 59
Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).
TAFSIR 1
Sunaid menuturkan dari Said bin Jubair bahawa kaum musyrik pernah berkata, "Wahai Muhammad, kamu mengaku bahawa sebelum kamu Allah juga pernah mengutus para nabi-nabi yang Iain. Di antara nabi itu ada yang dikurniakan mukjizat dengan ditundukkan kepadanya angin yang berembus dengan baik menurut perintahnya kemana saja yang dikehendakinya. Di antara mereka juga ada yang diberikan mukjizat untuk menghidupkan kembali orang yang telah mati. Oleh kerana itu, jika kamu menginginkan kami beriman dan mempercayaimu, berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami dengan mengubah seluruh Bukit Shafa ini menjadi bukit emas." Imam Ahmad meriwayatkan, Ibnu Abbas r.a menuturkan kaum kafir meminta kepada Nabi Muhammad saw untuk memperlihatkan mukjizat beliau kepada mereka dengan mengabulkan permintaan mereka, yakni mengubah Bukit Shafa menjadi bukit emas dan menundukkan pergunungan menjadi tempat yang amat baik untuk bercucuk tanam. Lalu dikatakan kepada Nabi Muhammad saw, "Jika kamu mahu, Kami akan menangguhkan mereka dan jika kamu mahu, Kami dapat mengabulkan permintaan mereka tetapi jika mereka masih kafir, nescaya mereka akan binasa sebagaimana binasanya umat terdahulu." Nabi Muhammad saw menjawab, "Tidak, tetapi tangguhkanlah mereka. Kemudian Allah swt menurunkan ayat, (Dan tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami) melainkan kerana (tanda-tanda) itu telah didustakan oleh orang terdahulu) An-Nasa'i meriwayatkan kisah ini dari jalan hadis Jarir.
Rujukan: 1999: 616-617 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan, "Sama sekali tidak ada yang menghalangi Kami, wahai Muhammad untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang diminta kaummu, selain kerana kenyataan kaum sebelum mereka pun mendustakan saat mereka meminta mukjizat seperti halnya permintaan mereka itu. Ketika mukjizat yang di minta datang, mereka mendustakan rasul-rasul mereka. Mereka tidak membenarkan mukjizat-mukjizat itu sehingga disegerakan seksa-Nya. Kami tidak mendatangkan mukjizat kepada kaummu kerana kalau Kami mendatangkan mukjizat itu pun, mereka pasti mendustakannya sehingga Kami menyegerakan azab Kami kepada mereka sebagaimana yang menimpa umat-umat sebelum mereka." Allah kembali menegaskan, "Sungguh telah meminta mukjizat wahai Muhammad, sebelum kaummu, iaitu kaum Tsamud. Kami lalu mendatangkan mukjizat sesuai dengan yang mereka minta." Firman Allah (Unta betina (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat) maksudnya menjadikan unta betina itu terlihat. (Tetapi mereka menganiaya (unta betina itu)) maksudnya mereka malah menganiaya unta betina tersebut dengan membunuh dan menguburnya. Mereka mengingkari mukjizat unta betina itu dengan membunuhnya. Allah menegaskan bahawa "Tidaklah Kami mendatangkan pelajaran dan peringatan tersebut selain untuk menakuti."
Rujukan: 2001: 634-639 (Tafsir al-Tabari)