Al-Israa’ (17) : 29
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.
TAFSIR 1
Allah berfirman seraya memerintahkan kita untuk berhemat dalam membelanjakan harta. Di samping itu, Allah juga mengecam perbuatan bakhil dan melarang berlebih-lebihan, (Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu). Ayat tersebut bermakna agar manusia tidak menjadi orang yang bakhil lagi kikir, tidak memberikan (bantuan) kepada seseorang, sebagaimana yang dikatakan oleh orang Yahudi (semoga laknat Allah menimpa mereka) bahawa tangan Allah terbelenggu, yakni mereka menisbatkan-Nya kepada kebahilan. Maha Tinggi, Maha Suci, Maha Mulia dan Maha Pemberi Allah atas segala yang mereka katakan. Maksud firman Allah, (Dan jangan (pula) engkau terlalu menghulurkannya (sangat pemurah)) adalah agar manusia tidak terlalu berlebih-lebihan dalam menginfakkan harta sehingga memberi sesuatu di luar kesanggupannya dan mengeluarkan pengeluaranvyang lebih besar daripada pemasukannya kerana hal tersebut akan membuatnya menjadi tercela dan menyesal. Hal tersebut termasuk dalam kaedah AI-Liffu wa An-Nasyr iaitu bahawa kebakhilan akan membuat seseorang menjadi tercela, dikecam dan tidak dipedulikan orang banyak. Apabila manusia mengulurkan tangannya (menginfakkan hartanya) di luar kesanggupannya ertinya dia tidak menginfakkan apa pun sehingga dia nanti bagaikan Al-Hasir iaitu haiwan yang tidak mampu berjalan lalu berhenti dalam keadaan lemah dan loyo.
Rujukan: 1999: 609-610 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini merupakan perumpamaan yang ditujukan kepada orang-orang yang enggan berderma dalam rangka menunaikan kewajipan yang dibebankan Allah terutama kepada mereka yang berpunya. Allah mengumpamakan mereka seperti orang yang tangannya terbelenggu pada lehernya sehingga tidak mampu mengambil harta kekayaan ataupun memberikannya. Makna ayat (Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu) adalah "Wahai Muhammad, janganlah engkau menutupkan tanganmu dari mengeluarkan harta dalam rangka memenuhi hak-hak Allah. Sehingga engkau tidak mendermakan apa pun kerana tangan terbelenggu pada leher dan engkau tidak mampu mengulurkannya." Allah menegaskan, "Dan jangan pula engkau terlalu mengulurkannya sehingga terlalu pemurah dan kerananya tidak tersisa sedikit pun harta kekayaan pada dirimu dan tidak memiliki persediaan saat ada lagi orang yang meminta dermamu." Makna ayat (Nanti kamu menjadi tercela dan menyesal) maka akan mencelamu orang lain yang meminta derma kepadamu itu kerana kamu tidak dapat memberinya. Engkau pun akan mencela dirimu sendiri kerana terIalu boros menghabiskan kekayaanmu dan lenyap begitu saja. Dan kamu akan menyesal akibat tidak mampu berderma di mana tidak lagi tersisa kekayaan pada dirimu.
Rujukan: 2001: 573-576 (Tafsir al-Tabari)