An-Nahl (16) : 126
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
TAFSIR 1
Allah swt menyuruh hamba-Nya untuk bersikap adil dalam menuntut suatu hak, sebagaimana hak dalam membalas kezaliman. Abdul Razzak meriwayatkan dari Ibnu Sirin bahawa firman Allah swt (Maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu) Dia menyuruh seseorang apabila diambil darinya suatu hak maka dia berhak untuk mengambil seharga dan sejumlah hak miliknya tersebut dari orang zalim tadi. Ibnu Zaid menuturkan bahawa kaum muslimin dahulu pernah diperintahkan memaafkan segala keburukan kaum musyrikin yang ditujukan orang lain terhadap mereka. Kemudian beberapa tokoh yang memiliki kekuatan besar dari kaum musyrikin memeluk Islam, mereka berkata "Wahai Rasulullah, jika saja Allah mengizinkan kita (untuk memerangi kaum musyrikin dan mengambil orang-orang muslim dulu) tentu kita akan meraih kemenangan dari keberingasan kaum musyrikin." Maka turunlah ayat ini, yang kemudian hukumnya dihapus dengan kewajipan jihad.
Rujukan: 1999: 594 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah berfirman untuk orang-orang beriman (Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian akan membalas kepada orang-orang yang pernah menzalimi kalian, maka balaslah dengan balasan seksaan yang serupa. Tetapi jika kalian sabar, berserah diri kepada Allah atas balasan mereka serta bertawakal kepada-Nya sehingga cukuplah Allah yang akan membalas mereka, maka bagi yang bersabar merupakan kebaikan kerana semata mengharap redha Allah. Kerana Allah-lah yang akan mengganti penderitaan kalian dan Dialah yang akan membalaskan dendam kalian dengan mencabut kenikmatan kemenangan dari tangan-tangan mereka) Para ulama berbeza pendapat mengenai sebab turunnya ayat ini. Bahkan, ada yang mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukh. Sebahagian mengatakan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan sumpah Rasulullah dan para sahabat dalam perang Uhud untuk membalas kekejian pasukan Quraisy dalam perang Badar yang pernah mencincang jasad sebahagian pasukan Islam. Mereka bersumpah akan berbuat lebih dari apa yang musuh lakukan kalau memenangi pertempuran. Maka Allah pun melarang sumpah mereka dengan menurunkan ayat ini. Allah memperbolehkan balas dendam dengan yang semisalnya jika menang dalam pertempuran tetapi kemudian melarangnya dan menganjurkan untuk bersabar. Maka dalam pandangan kelompok ini, kebolehan mencincang itu dimansukh. Ini diriwayatkan dari Amir dan Atha bin Yassar. Sebahagian ulama menyatakan bahawa ayat di atas dinasakh ayat 5 surah At-Taubah, (Maka bunuhlah mereka dimanapun kalian menemukannya). Mereka beralasan bahawa ayat (Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar) itu perintah kepada kaum Mukminin untuk tidak memulai menyerang sampai musuh melancarkan serangan. Ini diriwayatkan dari Ibn Abbas. Sebahagian ulama menyatakan bahawa perintah sabar dalam ayat itu hanya untuk nabi sendiri bukan untuk semua sahabatnya kerana bentuk ujian berat dari Allah. Demikian berdasarkan riwayat Ibn Zaid. Pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang pertama iaitu perintah Allah untuk membalas kekejian mereka dengan tindakan serupa tetapi menganjurkan untuk sabar dengan tidak membalasnya. Ayat ini tetap berlaku sehingga harus diamalkan.
Rujukan: 2001: 406-407 (Tafsir al-Tabari)