Al-Baqarah (2) : 194
(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
TAFSIR 1
Ibnu Abbas meriwayatkan, ketika hendak melakukan umrah pada tahun enam hijriah, di tengah perjalanan Rasulullah saw dan para sahabat dicegat sekelompok kaum kafir, mereka dilarang memasuki kawasan Mekah. Kejadian itu berlangsung pada bulan Dzulqa'dah yang merupakan bulan suci. Rasulullah saw kemudian memutuskan untuk menunda pelaksanaan umrah pada tahun berikutnya. Kemudian turunlah ayat ini. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah saw melarang umatnya melakukan peperangan pada bulan suci kecuali jika kaum kafir memulai menyerang terlebih dahulu. Masih banyak riwayat lain yang menerangkan bahawa Allah swt mengecam peperangan pada bulan suci kecuali jika kaum kafir yang memulai peperangan. Jadi, posisi kaum muslimin membela diri. Hal itu ditegaskan ayat (Oleh sebab itu barang siapa menyerang kamu, maka seranglah dia setimpal dengan serangannya terhadap kamu). Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa Allah swt menganjurkan kaum muslimin agar selalu bertindak adil dalam peperangan, sekalipun kepada kaum kafir. Peperangan ini hendaknya dilakukan dengan landasan ketakwaan kepada Allah swt. Dengan begitu, Allah swt akan melindungi kaum muslimin dari kekuatan kaum kafir dan menjanjikan syurga serta pahala berlimpah bagi orang yang mati syahid dalam peperangan tersebut.
Rujukan: 1999: 111-112 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam suatu riwayat dikemukakan peristiwanya sebagai berikut, Pada bulan Dzulqa?dah tahun ke-6 Hijriyah Nabi saw dengan para sahabatnya berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah dengan membawa korban. Setibanya di Hudaibiyah, mereka dicegat oleh kaum musyrikin dan dibuatlah perjanjian yang isinya antara lain agar kaum Muslimin menunaikan umrahnya pada tahun berikutnya. Pada bulan Dzulqa?dah tahun berikutnya, berangkatlah Nabi saw beserta sahabatnya ke Mekah dan tinggal di sana selama tiga malam. Kaum musyrikin merasa bangga dapat menggagalkan maksud Nabi saw untuk umrah pada tahun yang lalu. Allah swt membalasnya dengan meluluskan maksud umrah pada bulan yang sama pada tahun berikutnya. Sehubungan dengan itu Allah berfirman kepada Nabi-Nya dan kaum Muslim yang menyertainya (Bulan haram dengan bulan haram) Allah swt menamakan Dzulqa'dah dengan bulan haram kerana orang-orang Jahiliyah dahulu mengharamkan peperangan dan pembunuhan pada bulan itu. Seseorang tidak boleh membunuh orang lain, sekalipun bertemu dengan orang yang membunuh orang tua dan anaknya. Dan Allah menamai bulan itu dengan Dzulqa'dah sesuai dengan penamaan yang ditetapkan oleh orang Arab iaitu mereka menamai bulan itu dengan Dzulqa'dah kerana mereka menahan diri dari peperangan. Kemudian Allah mengukuhkan hukum-hukum yang telah ditentukan melalui firman-Nya ini.
Rujukan: 2001: 304-312 (Tafsir al-Tabari)