An-Nahl (16) : 83

يَعْرِفُونَ نِعْمَتَ اللَّهِ ثُمَّ يُنْكِرُونَهَا وَأَكْثَرُهُمُ الْكَافِرُونَ

Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar.


TAFSIR 1
(Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya) iaitu mereka mengetahui bahawa Allah yang telah mengurniakan segala macam nikmat kepada mereka namun mereka tetap mengingkari bahawa Allah Tuhan mereka dan justeru berpaling untuk mengabdikan diri kepada tuhan selain Allah swt. (Dan kebanyakan mereka adalah orang yang ingkar kepada Allah) adalah sebagaimana yang dikutip Abu Hatim dari riwayat Mujahid mengenai seorang badawi yang mendatangi nabi dan bertanya suatu hal kepadanya. Lalu, nabi membacakan ayat 80 dan 81, (Dan Allah menjadikan rumah-rumah bagimu sebagai tempat tinggal) dan badawi tersebut berkata, "Ya". Lalu, Nabi membaca ayat selanjutnya (Dan Dia menjadikan bagimu rumah-rumah (kemah-kemah) dari kulit haiwan ternak) dan badawi itu lagi-lagi mengiyakan. Nabi pun membaca setiap tanda-tanda kekuasaan Allah dalam limpahan nikmat terhadap manusia dan badawi masih mengiyakan sehingga Nabi saw membaca (Demikian Allah menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu agar kamu berserah diri (kepada-Nya)) badawi itu pun berpaling dan pergi dari hadapan Nabi saw. Kemudian Allah menurunkan ayat selanjutnya, (Mereka mengetahui nikmat Allah kemudian mereka mengingkarinya dan kebanyakan mereka adalah orang yang ingkar kepada Allah).
Rujukan: 1999: 586 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Sebahagian ulama mentafsirkan bahawa maksud nikmat dalam ayat itu adalah Nabi Muhammad yang dikenal oleh para musyrikin tetapi mereka justru mendustakannya. Demikian dijelaskan dalam riwayat dari As-Saddi. Sebahagian ulama mentafsirkan bahawa mereka mengenal berbagai kenikmatan yang diberikan kepada mereka seperti tertera dalam ayat terkait. Mereka mengenal berbagai kenikmatan yang diberikan kepada mereka seperti tertera dalam ayat terkait. Allah-lah pemberi semua nikmat itu tetapi kaum musyrikin menolaknya dengan beranggapan bahawa semua nikmat itu semata warisan dari para nenek moyangnya. Demikian diriwayatkan oleh Mujahid dan Ibnu Katsir. Ada juga ulama yang mengatakan bahawa maksud ayat itu adalah jika orang-orang kafir ditanya siapakah yang memberikan rezeki kepada kalian? Mereka menjawab Allah-lah yang memberi rezeki itu. Tetapi mereka segera meralat dengan kata-kata, "Kami diberi rezeki oleh para tuhan kami." Pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang menyatakan bahawa nikmat itu berupa diutusnya Muhammad tetapi kaum musyrikin membangkang dan menolak ajaran-ajarannya.
Rujukan: 2001: 326-327 (Tafsir al-Tabari)