Al-Baqarah (2) : 187
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
TAFSIR 1
Ayat ini menjelaskan bolehnya melakukan hubungan suami isteri pada malam bulan Ramadhan selepas berbuka. Ayat ini sekaligus menghapus ketentuan awal, di mana seseorang diperbolehkan makan, minum, berhubungan intim dan tidur antara maghrib dan isyak. Ketika isyak masuk, ia tidak diperbolehkan makan, minum, tidur dan berhubungan suami isteri. Ketentuan ini sungguh sangat memberatkan. Dengan ayat ini, Allah swt memberikan kelonggaran kepada umat Rasulullah saw untuk makan, minum dan berhubungan intim sampai sebelum terbitnya fajar pada hari berikutnya. Telah dijelaskan, waktu puasa berlaku sejak terbit fajar sampai tenggelamnya matahari. Tenggelamnya matahari menjadi pertanda masuknya waktu malam. ltulah batas akhir berpuasa. Setelah itu, diperbolehkan makan, minum, melakukan hubungan suami isteri dan hal-hal lain yang terlarang ketika berpuasa. ltulah maksud ayat (Kemudian sempurnakanlah puasa sampai (datang) malam). Dalam ayat (Makan dan minumlah hingga jelas bagimu (perbezaan) antara benang putih dan benang hitam iaitu fajar) bahawa munculnya cahaya pagi menjadi pertanda akhir waktu sahur iaitu ketika fajar menyingsing. Ali bin Abu Thalhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, ayat (Tetapi jangan kamu campuri mereka ketika kamu beritikaf dalam masjid) menjelaskan haramnya melakukan hubungan suami isteri ketika beriktikaf. Jika ingin melakukannya, hendaknya menunggu sampai selesai itikaf. Itulah ketentuan Allah swt berkaitan dengan puasa Ramadhan.
Rujukan: 1999: 106-109 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini maksudnya adalah pada malam hari bulan shaum, kamu dibebaskan dan dibolehkan mengadakan hubungan suami isteri. Selanjutnya Allah menjelaskan sebab-sebab ditentukannya hukum ini. Maksud dari ayat (Mereka adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka) adalah kerana hubungan kalian telah menyatu sehingga sulit bagi kalian tidak menggaulinya. Sedang penggalan ayat (Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan dirimu sendiri) menjelaskan hubungan suami isteri dan makan-minum pada waktu yang diharamkan. Pada penggalan selanjutnya, Allah menerima taubat dengan memberikan pengampunan atas pengkhianatan yang pernah dilakukan. Sekarang, Allah menghalalkan untuk melakukan hubungan suami isteri pada malam-malam bulan Ramadhan sampai terbit fajar dengan niat mengembangkan keturunan. Diperbolehkan makan, minum dan bersetubuh di sepanjang malam bulan Ramadhan sampai fajar. Shaumlah sampai ada tanda datangnya malam. Janganlah bersetubuh ketika sedang melalukan iktikaf di masjid sekalipun dilakukan pada malam hari. (Itulah ketentuan Allah maka janganlah kamu mendekatinya) janganlah mencuba mendekati makan, minum dam berjimak dengan isteri saat beriktikaf di masjid. Jika melakukan itu, kamu berhak mendapatkan seksaan sebagaimana orang yang melampaui batasan Allah dan hukum-hukum-Nya. Dan Allah menjelaskan semua itu kepada kalian agar berhati-hati terhadap perkara haram dan maksiat. Sesungguhnya Allah telah mengharamkannya bagi kalian dan memerintahkan kalian untuk meninggalkannya.
Rujukan: 2001: 229-275 (Tafsir al-Tabari)