Ibrahim (14) : 48
(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.
TAFSIR 1
Allah swt berfirman ((Iaitu) pada hari (ketika) Bumi diganti dengan Bumi yang lain dan (demikian pula) langit)) iaitu janji-Nya itu akan terjadi pada hari ketika Bumi diganti dengan Bumi lain yang tidak seperti Bumi yang dikenal. Sahl bin Saad meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda sebagai berikut. "Pada hari Kiamat kelak, manusia akan dikumpulkan di sebuah bumi (berwarna) putih berdebu seperti lempengan murni dan padanya tidak terlihat tanda (pernah ditempati) oleh seorang pun," (HR Bukhari dan Muslim) Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Aisyah r.a berkata, "Akulah orang pertama yang bertanya kepada Rasulullah saw tentang maksud firman Allah swt ((Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit) Aku bertanya kepada beliau, 'Wahai Rasulullah, pada hari itu di manakah manusia berada?' Beliau menjawab, 'Di atas Shirath.' (HR Ahmad) Sedangkan maksud firman Allah swt (Dan mereka (manusia) berkumpul (di padang Mahsyar) menghadap Allah) adalah seluruh makhluk akan keluar dari kuburan mereka menuju Allah (Yang Maha Esa, Maha Perkasa) iaitu Dia Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan mengalahkannya. Hanya kepada-Nya seluruh makhluk tunduk dan seluruh akal patuh.
Rujukan: 1999: 562 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan "Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah swt Maha Pemberi balasan ((Iaitu) pada hari (ketika) Bumi diganti dengan Bumi yang lain dan (demikian pula) langit) kepada kaummu yang musyrik dari kalangan bangsa Quraisy dan kepada seluruh orang yang kafir terhadap Allah swt, mengingkari kenabianmu dan kenabian sebelum kamu. Maka, hari ini adalah Hari Pembalasan. Para ahli takwil berbeza pendapat mengenai firman-Nya ((Iaitu) pada hari (ketika) Bumi diganti dengan Bumi yang lain dan (demikian pula) langit). Sebahagian ahli takwil mengatakan, maknanya hari di mana Bumi tempat tinggalnya manusia akan diganti dengan Bumi yang lain. Maka Bumi berubah menjadi putih layaknya perak. Sebahagian lain menyebutkan, maknanya adalah Bumi berubah dengan dipenuhi api. Sebahagian lain mengatakan, maknanya adalah Bumi yang terbuat dari roti. Ada juga yang berpendapat maknanya Bumi digantikan dengan selain Bumi. Penulis berpendapat, pentafsiran yang tepat adalah mereka yang berpendapat bahawa makna ayat ini adalah hari di mana Bumi yang kita tempati hari ini diganti pada hari Kiamat dengan yang lainnya. Begitupun dengan langit, diganti pada hari Kiamat dengan yang lainnya. Namun boleh saja jika mengatakan bahawa Bumi diganti dengan Bumi lain yang terbuat dari api, roti atau selain itu, Sebab, tidak ada dalil yang mewajibkan kami membenarkan salah satu pendapat ini dan suatu pendapat tidak dapat dikatakan benar jika tanpa dalil yang jelas.
Rujukan: 2001: 728-740 (Tafsir al-Tabari)