Ibrahim (14) : 41 (Blok: 38-41)
Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan
TAFSIR
Ibnu Jarir At-Tabari mengatakan bahawa pada ayat ini Allah swt memberitahukan tentang kekasih-Nya Ibrahim a.s, beliau berseru (Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami tampakkan) Maksudnya yakni Engkau tahu maksud doaku bahawa aku tidak memaksudkan doaku untuk penduduk negeri ini tetapi untuk menggapai redha-Mu dan untuk berbuat ikhlas kerana-Mu. Sesungguhnya Engkau mengetahui segala sesuatu baik yang tampak mahupun yang tidak tampak. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari-Mu, baik di langit mahupun di Bumi. Kemudian Nabi Ibrahim a.s memuji Tuhannya atas apa yang telah dikurniakan kepadanya berupa anak setelah usianya senja. Beliau berkata, sebagaimana tertera dalam firman Allah swt (Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishaq. Sungguh, Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa). Maksudnya iaitu Allah swt sentiasa mengabulkan setiap orang yang berdoa kepada-Nya dan dia telah mengabulkan doaku ketika aku memohon kepada-Nya untuk mengurniaiku seorang anak. Lantas beliau berkata, yang dijelaskan di dalam firman-Nya (Ya Tuhanku, jadikanlah aku orang yang tetap melaksanakan solat) Maksudnya adalah sentiasa menjaga waktu solat dan melaksanakan ketentuan-ketentuannya. Perkataan beliau selanjutnya adalah (Dan anak cucuku) Maksudnya adalah jadikanlah mereka orang-orang yang juga sentiasa melaksanakan solat. Doa beliau selanjutnya adalah (Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku) Maksudnya iaitu kabulkanlah segala permintaanku yang kusampaikan melalui doaku. Selanjutnya Nabi Ibrahim a.s berdoa, (Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua ibu bapakku) Doa ini dipanjatkan sebelum beliau berlepas diri dari ayahnya lantaran dia memusuhi Allah swt dengan terang-terangan. Lanjutan doa beliau adalah (Dan semua orang yang beriman) tanpa terkecuali (Pada hari diadakan perhitungan (hari Kiamat)) Maksudnya adalah pada hari Engkau menghisab seluruh hamba-Mu Ialu Engkau membalas amal perbuatan mereka. Jika amal mereka baik, baik pulalah balasannya dan jika amal mereka jelek, jelek pula balasannya.
Rujukan: 1999: 561 (Tafsir Ibn Katsir)