Ibrahim (14) : 13
Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.
TAFSIR 1
Pada ayat ini, Allah swt memberitahukan ancaman yang dilancarkan umat terdahulu terhadap para rasul mereka berupa pengusiran dari negeri tempat mereka berdomisili dan menjauhkan mereka dari masyarakat. Salah satu bentuk sunnatullah adalah Dia sentiasa memenangkan dan menolong rasul-Nya. Dia juga menjadikan banyak penolong bagi beliau serta pasukan yang siap berperang di jalan-Nya lantaran beliau hijrah dari Mekah. Di samping itu, Allah swt sentiasa menganugerahi rasul-Nya kemajuan dari satu tahap ke tahap lain sehingga akhirnya Dia menaklukkan Mekah untuk beliau yang dulu kaumnya mengusir beliau, bahkan Dia menjadikan beliau berkuasa dalam negeri itu. Tidak cukup itu, Allah swt juga menundukkan musuh-musuh beliau, baik dari kalangan Quraisy mahupun dari bangsa-bangsa lain di dunia sehingga akhirnya semua orang berbondong-bondong memeluk agama Islam. Dan dalam waktu yang tidak lama, kalimat Allah swt (La ilaha illallah) dan agama-Nya menang atas agama-agama lain yang terdapat di seluruh belahan Bumi. Sebab itu Allah swt berfirman, (Kami pasti akan membinasakan orang yang zalim itu. Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu setelah mereka).
Rujukan: 1999: 554 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan, telah berkata orang-orang yang kafir terhadap Allah swt atas apa yang Dia utus kepada mereka ketika Dia menyeru mereka agar mengesakan Allah swt dan ikhlas dalam beribadah kepada-Nya serta meninggalkan peribadatan kepada berhala dan patung, (Kami pasti akan mengusir kamu dari negeri kami atau kamu benar-benar kembali kepada agama kami). Makna penggalan ayat, (Maka Tuhan mewahyukan kepada mereka, "Kami pasti akan membinasakan orang yang zalim itu) iaitu mereka yang menzalimi diri mereka sendiri akan diberi hukuman oleh Allah swt atas kekufuran mereka.
Rujukan: 2001: 611-613 (Tafsir al-Tabari)