Ar-Ra’d (13) : 15
وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
TAFSIR 1
Allah swt menjelaskan kebesaran dan kekuasaan-Nya. Setiap sesuatu di bawah kendali-Nya dan tunduk kepada-Nya. Kerana itu, segala sesuatu bersujud kepadanya, baik dengan kemahuan sendiri jika ia dari kalangan mukmin mahupun dengan terpaksa jika ia dari kalangan kafir; begitu juga bayang-bayang mereka, baik pada waktu pagi mahupun waktu petang. Dalam ayat lain, Allah swt berfirman sbagai berikut. (Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah dan mereka (bersikap) rendah hati) (QS An-Nahl, 16: 48).
Rujukan: 1999: 543 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Jika orang-orang yang menyeru kepada selain Allah swt iaitu kepada berhala dan patung melarangmu untuk mengesakan Allah swt dalam ketaaan dan ikhlas beribadah kepada-Nya. Maka para malaikat yang ada di langit hanya kepada Allah-lah mereka bersujud, juga orang-orang beriman yang ada di Bumi secara sedar dan penuh ketaatan. Adapun orang-orang kafir, mereka merasa terpaksa ketika diperintahkan untuk bersujud. Keterangan ini ditegaskan riwayat yang disampaikan Basyar, ia berkata Yazid telah menceritakan kepada kami, ia berkata Said telah menceritakan kepada kami, dari Qatadah, ia berkata bahawa firman Allah (Dan semua sujud kepada Allah baik yang di langit mahupun yang di Bumi, baik dengan kemahuan sendiri mahupun terpaksa) iaitu orang-orang yang beriman bersujud penuh ketaatan sedangkan orang-orang kafir bersujud dengan penuh keterpaksaan. Maksud firman-Nya ((Dan sujud pula) bayang-bayang mereka, pada waktu pagi dan petang hari) maksudnya bayang-bayang orang-orang yang bersujud juga turut bersujud, baik kerana penuh kesedaran dan ketaatan mahupun dalam keterpaksaan, di pagi dan petang hari. Sebab setiap bayangan manusia, berbolak-balik di petang hari sebagaimana firman-Nya, (Dan apakah mereka tidak memperhatikan suatu benda yang diciptakan Allah, bayang-bayangnya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah, dan mereka (bersikap) rendah hati). Penjelasan ini didasarkan kepada riwayat Muhammad bin Saad, ia berkata ayahku telah meriwayatkan kepadaku, ia berkata, pamanku telah meriwayatkan kepadaku, dari ayahnya dari Ibnu Abbas.
Rujukan: 2001: 491-493 (Tafsir al-Tabari)