Ar-Ra’d (13) : 3
Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
TAFSIR 1
Setelah menyebutkan alam atas, Allah swt menyebutkan tanda-tanda kekuasaan, hikmah-hikmah dan ketetapan-ketetapan-Nya di alam bawah. Dia berfirman, (Dia yang menghamparkan bumi) yakni menjadikannya luas, baik panjangnya mahupun lebarnya, mengukuhkannya dengan gunung-gunung yang menjulang tinggi dan mengalirinya dengan sungai-sungai dan mata air agar dapat menyirami buah-buahan yang bermacam-macam warna, bentuk, rasa dan baunya. Dan Allah menjadikan berpasang-pasang untuk setiap jenis. Maksud firman Allah swt, (Dia menutupkan malam kepada siang) adalah Allah menjadikan masing-masing malam dan siang saling mengejar dengan cepat. Jika malam pergi, siang langsung menggantinya dan jika siang pergi, malam langsung menggantinya. Allah mengatur waktu sebagaimana mengatur tempat. Maksud berfikir di dalam firman Allah swt (Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir) adalah berfikir tentang nikmat-nikmat, hikmah-hikmah dan bukti-bukti kebesaran-Nya.
Rujukan: 1999: 539 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan pada ayat ini bahawa Dialah yang membentangkan Bumi dan menghamparkannya, panjang mahupun lebarnya. Makna penggalan ayat, (Dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai di atasnya. Dan padanya Dia menjadikan semua buah-buahan berpasang-pasangan) iaitu menciptakan gunung dan sungai-sungai di atas bentangan bumi. Di setiap buah-buahan diciptakan dua pasangan. Kerana maksud dari (Berpasang-pasangan) iaitu bagi setiap pasangan ada diciptakan dua lagi. Maka jumlahnya menjadi empat iaitu dua jantan dan dua betina. (Dia menutupkan malam kepada siang. Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir) iaitu malam menutupi siang dengan kegelapannya dan siang menutupi malam dengan cahayanya. Pada setiap yang disebutkan tadi, berupa beberapa keajaiban ciptaan-Nya dan kebesaran kekuasaan-Nya. Merupakan dalil, hujjah dan peringatan bagi orang-orang yang sentiasa memikirkannya. Maka mereka bisa menjadikan hal-hal tersebut sebagai dalil sehingga mereka bisa yakin bahawa ibadah yang mereka lakukan itu tidak sah melainkan jika dipersembahkan kepada Dia yang menciptakannya. Bukan kepada patung dan berhala yang tidak dapat memberikan mudharat ataupun manfaat dan bukan kepada siapa pun selain-Nya.
Rujukan: 2001: 413-415 (Tafsir al-Tabari)