Yusuf (12) : 101
Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.
TAFSIR 1
Ini adalah doa Yusuf a.s setelah merasa bahawa Allah swt menyempurnakan nikmat untuk dirinya kerana mempertemukan dirinya dengan kedua orang tuanya dan saudara-saudaranya, memberinya kenabian dan kekuasaan, Yusuf berdoa kepada Allah swt agar Dia tetap menyempurnakan nikmat-Nya kepadanya sampai di akhirat nanti, mewafatkannya dalam keadaan muslim, sebagaimana yang dikatakan Ad-Dhahhak dan menempatkannya bersama dengan orang-orang soleh dari para nabi dan para rasul. Kemungkinan doa tersebut diucapkan oleh Yusuf ketika akan meninggal. Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ketika akan meninggal mengangkat jari beliau dan berdoa sebagai berikut. "Ya Allah, (tempatkanlah aku) bersama dengan ar-rafiqul-aqla (orang-orang yang darjatnya tinggi)." Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Bukhari dan Muslim) Mungkin juga Nabi Yusuf berdoa kepada Allah swt agar mewafatkan dirinya secara Islam dan menyusulkan dirinya dengan orang-orang soleh ketika ajalnya telah tiba.
Rujukan: 1999: 535 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Yusuf mengadu sesaat setelah dikumpulkan kembali bersama ayah dan saudara-saudaranya dan setelah diberikan kemudahan di dunia berupa kehormatan dan kedudukannya di muka bumi. Dengan penuh rasa rindu bertemu dengan ayahnya, dia berkata, (Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kekuasaan) iaitu kerajaan Mesir. Dan Yusuf bersyukur atas nikmat yang diberikan Allah, berupa pengetahuan dalam menabir mimpi. ((Wahai Tuhan) Pencipta langit dan bumi, wahai Engkau Pencipta keduanya. Engkau Pelindungku yang membela diriku dari segala keburukan dunia dan Engkau memberiku nikmat di dunia serta melindungiku di akhirat dengan keutamaan dan rahmat-Mu. (Wafatkanlah aku dalam keadaan muslim dan gabungkanlah aku dengan orang yang soleh) kumpulkanlah aku dengan orang-orang soleh seperti nenek moyangku Ibrahim dan Ishaq juga bersama nabi-nabi sebelumnya yang Engkau utus. Ada yang berpendapat, tidak ada seorang pun dari seorang nabi yang meminta diwafatkan sebelumnya kecuali Yusuf. Pendapat lain mengatakan, bahawa ayahnya memintakan maaf atas apa yang telah dilakukan saudara-saudara Yusuf kepada dirinya dahulu. Maka Allah pun menerima taubat mereka dan menghapus dosa-dosa mereka. Ada juga yang berpendapat, bahawa Yaaqub wafat sebelum Yusuf dan beliau berwasiat kepada Yusuf agar dimakamkan di Sisi kuburan ayahnya Ishaq.
Rujukan: 2001: 364-369 (Tafsir al-Tabari)