Al-Baqarah (2) : 159
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
TAFSIR 1
Menurut Abu Aliyah, ayat ini diturunkan kepada Ahlul Kitab yang melakukan pengkhianatan terhadap risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw. Ayat ini menjelaskan bahawa Allah swt melaknat orang-orang kafir yang melakukan pembangkangan terhadap ke nabian dan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Disebutkan dalam sebuah riwayat, Rasulullah pernah menegaskan bahawa Allah swt akan melaknat orang-orang yang bertanya tentang kebaikan dan kebenaran tetapi setelah dijelaskan mereka mengkhianatinya. Tidak hanya Allah swt, para malaikat pun tidak rela dengan apa yang mereka perbuat. Sebagaimana dijelaskan bahawa malaikat pun ikut melaknat mereka yang melakukan pendustaan dan pengkhianatan terhadap agama. Allah swt kemudian mengecualikan orang-orang yang mahu bertaubat. Mereka yang sungguh-sungguh melakukan taubat dan insaf atas apa yang mereka perbuat. Allah swt akan membukakan pintu ampunan bagi mereka dan melimpahkan rahmat-Nya. Jumhur ulama sepakat bahawa melaknat kaum kafir hukumnya boleh. Sebaliknya, haram hukumnya bagi seseorang untuk melaknat orang mukmin yang mencintai Allah swt dan rasul-Nya. Hal ini didasarkan kepada sabda Rasulullah saw sebagai berikut (Janganlah kamu melaknatnya kerana sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya."
Rujukan: 1999: 95 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud firman-Nya (Sungguh, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk) iaitu ahli ilmu dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Mereka menyembunyikan keterangan tentang Muhammad dan tidak mengikutinya, padahal mereka mendapatkan keterangan itu secara tertulis di dalam Taurat dan Injil, baik tentang kedatangan, sifat-sifatnya, mahupun kebenaran agama yang dibawanya. ltu semua tidak mereka ceritakan dan ajarkan kepada manusia. Padahal tentang itu telah dijelaskan oleh Allah di dalam kitab yang diturunkan kepada para nabi. Maksud firman-Nya (Mereka itulah yang dilaknat Allah dan dilaknat (pula) oleh mereka yang melaknat) iaitu mereka mendapat laknat dari Allah, malaikat dan seluruh manusia dengan cara memohon pada Allah agar Dia melaknat mereka (orang yang menyembunyikan ilmu). Ayat ini, sekalipun diturunkan secara khusus tentang sebagian Ahli kitab, tetapi maknanya mencakup kepada setiap orang yang menyembunyikan ilmu, yang wajib dijelaskan kepada manusia. Makna ini sesuai dengan sabda Rasulullah saw, "Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu yang ia kuasai, kemudian ia menyembunyikannya, maka dihari kiamat nanti mulutnya akan disumbat dengan api neraka".
Rujukan: 2001: 729-732 (Tafsir al-Tabari)