Yusuf (12) : 24
Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.
TAFSIR 1
Ada yang mengatakan, yang dimaksud dengan kehendak Yusuf terhadap perempuan Al-Aziz adalah lintasan bisikan nafsu. Al-Baghawi meriwayatkan dari sebahagian ahli tahkik. Kemudian ia menyebutkan dari riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda sebagai berikut. "Allah swt berfirman, (ApabiIa hamba-Ku berkehendak terhadap suatu kebaikan, tulislah ia dengan satu kebaikan. Jika ia melakukannya, tulislah ia dengan sepuluh kebaikan. Jika ia berkehendak terhadap suatu keburukan (dosa) lalu ia tidak melakukannya, tulislah sebagai satu kebaikan kerana sesungguhnya ia meninggalkan demi Aku dan jika ia melakukannya, tulislah sesuai dengan nya) (HR Bukhari Muslim). Ada ulama yang mengatakan bahawa maksudnya adalah Yusuf berkehendak untuk memukulnya. Allah swt berfirman, (Demikianlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian) yakni Allah berfirman, "Sebagaimana Kami memperlihatkan tanda atau bukti kepadanya sehingga ia berpaling dari keinginannya terhadap perempuan Al Aziz, Kami menjaganya dari keburukan dan kekejian dalam segala urusannya." Allah swt juga berfirman, (Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih) yakni Yusuf termasuk orang-orang yang dipilih dan disucikan. Semoga Allah sentiasa mencurahkan selawat dan salam kepadanya.
Rujukan: 1999: 523-524 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini merupakan kelanjutan kisah pada ayat 21 iaitu Yusuf sangat disayangi oleh Qithfir dan isterinya Zulaikha. Selanjutnya pada ayat (Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf)) ini, Allah swt menguji keimanannya dengan godaan Zulaikha, wanita cantik lagi bangsawan itu. Yusuf pun bermaksud melakukan pula dengan wanita itu andai kata Dia tidak melihat tanda dari Tuhannya. Ayat ini tidaklah menunjukkan bahawa Nabi Yusuf a.s punya keinginan yang buruk terhadap Zulaikha akan tetapi godaan itu demikian besarnya sehingga andai kata Dia tidak dikuatkan dengan keimanan kepada Allah swt tentu Dia jatuh ke dalam kemaksiatan. Demikianlah Allah memalingkan kemungkaran dan kekejian dari Nabi Yusuf a.s. Sesungguhnya Nabi Yusuf a.s itu termasuk hamba-hamba Allah yang terpilih.
Rujukan: 2001: 80-101 (Tafsir al-Tabari)