Hud (11) : 114
Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
TAFSIR 1
Ali bin Abu Thalhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa maksud dari firman-Nya, (Dan laksanakanlah solat pada kedua hujungnya siang (pagi dan petang)) adalah solat subuh dan solat maghrib. Berdasarkan riwayat Qatadah, Ad-Dhahak dan perawi yang lain, Hassan berpendapat maksud ayat tersebut solat subuh dan asar. Sementara Mujahid berpendapat, yang dimaksud adalah solat subuh pada permulaan siang dan solat zuhur dan asar pada akhir siang. Berkaitan firman Allah, (Dan pada bahagian permulaan malam) Ibnu Abbas, Mujahid, Hassan dan perawi yang lain mengatakan bahawa bahagian permulaan malam adalah solat isyak. Berdasarkan riwayat Ibnu Mubarak dari Mubarak bin Fadhalah, Hassan berpendapat bahawa maksudnya adalah solat maghrib dan isyak. Rasulullah saw bersabda sebagai berikut. "Keduanya adalah permulaan malam, maghrib dan isyak" Bisa jadi ayat ini turun sebelum solat lima waktu diwajibkan pada malam Isra? kerana semua kaum muslimin diwajibkan untuk melakukan dua solat, iaitu solat sebelum matahari terbit dan solat sebelum matahari terbenam. Dan di tengah malam, beliau dan kaum muslimin juga wajib melakukan solat. Kemudian, kewajiban solat di tengah malam itu dihapus untuk kaum muslimin tetapi tidak dihapus untuk beliau. Kemudian, dihapus juga untuk beliau menurut sebahagian pendapat. Allah swt berfirman, (Perbuatan-perbuatan baik itu menghapus kesalahan-kesalahan) yakni sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapus dosa-dosa yang telah berlalu.
Rujukan: 1999: 517-518 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Beberapa faedah yang dikandung ayat ini adalah penjelasan perintah untuk mendirikan solat wajib. Disebut secara khusus di sini kerana ia urutan kedua setelah keimanan. Ayat ini menjelaskan secara ringkas semua waktu solat yang wajib. Kerana kedua tepi siang meliputi solat subuh, solat zuhur dan solat asar. Adapun bahagian permulaan malam meliputi solat maghrib dan isyak. Namun Imam At-Tabari lebih memilih pendapat bahawa solat pada kedua tepi siang itu maksudnya solat subuh dan maghrib. Ayat ini menjelaskan bahawa solat termasuk di antara al-hasanat (amal soleh). Ayat ini menjelaskan bahawa Al-Quran sebagai mau'izhan (nasihat) bagi mereka yang mengingat-ingat. Orang-orang yang ingat disebut secara khusus di sini kerana mereka yang mendapat manfaat dari nasihat itu.
Rujukan: 2001: 601-627 (Tafsir al-Tabari)