Hud (11) : 20
Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.
TAFSIR 1
Maksud firman Allah swt, (Mereka tidak mampu menghalangi (seksaan Allah) di Bumi dan tidak akan ada bagi mereka penolong selain Allah) adalah mereka berada dalam kekuasaan-Nya dan genggaman-Nya dan Dia Maha Kuasa untuk menyeksa mereka di dunia sebelum di akhirat kelak. Allah swt berfirman, (Azab itu dilipatgandakan kepada mereka) yakni seksaan dilipatgandakan kepada mereka kerana sesungguhnya Allah swt menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati untuk mereka tetapi pendengaran, penglihatan dan hati itu tidak memberikan faedah kepada mereka. Mereka tuli dari mendengarkan kebenaran dan buta dari mengikuti kebenaran, sebagaimana yang telah dijelaskan Allah swt ketika mereka memasuki neraka. Allah swt berfirman sebagai berikut. mereka berkata, (Sekiranya (dahulu) kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala). (QS Al-Mulk, 67: 10) (Orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka seksaan demi seksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerosakan) (QS An-Nahl, 16: 88) Oleh kerana itu, mereka diseksa atas segala perintah yang mereka tinggalkan dan segala larangan yang mereka lakukan.
Rujukan: 1999: 503-504 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah menjelaskan dua golongan manusia, satu golongan menginginkan perhiasannya dan satu golongan lain mendapatkan bukti nyata. Sedangkan pada rangkaian ayat-ayat 18-24, Allah menjelaskan keadaan mereka masing-masing di dunia dan apa yang diperoleh mereka kelak di akhirat. Pada ayat (Mereka tidak mampu menghalangi (seksaan Allah) di Bumi) ini, Allah menjelaskan keadaan orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah dan kejelekannya di akhirat berdasarkan persaksian dari malaikat, nabi-nabi dan anggota-anggota badannya sendiri. Mereka tidak mampu menghalang-halangi Allah untuk mengazab mereka di Bumi ini dan mereka tidak punya penolong selain Allah. Azab itu dilipatgandakan kepada mereka kerana Allah telah memberi mereka pendengaran, penglihatan dan hati. Hanya saja mereka tuli dalam mendengar kebenaran itu dan buta dalam mengikutinya. Demikian itu kerana kekufuran telah melalaikan mereka sehingga tidak menggunakan anggota badan itu untuk taat kepada Allah.
Rujukan: 2001: 369-372 (Tafsir al-Tabari)