Hud (11) : 2
(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).
TAFSIR 1
Maksud firman Allah, (Agar kamu tidak menyembah selain Allah) adalah Al-Quran yang telah disusun dengan rapi dan teperinci ini diturunkan agar manusia menyembah Allah semata dan tidak menyekutukan-Nya. Hal itu senada dengan firman Allah swt sebagai berikut. (Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun sebelum engkau (Muhammad), melainkan Kami wahyukan kepadanya, 'Bahawa tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Aku maka sembahlah Aku) (QS Al-Anbiya, 21: 25) Maksud firman Allah swt, (Sesungguhnya aku (Muhammad) adalah pemberi peringatan dan pembawa berita gembira dari-Nya untukmu) adalah sesungguhnya aku pemberi peringatan untukmu dari seksa Allah Jika kamu menyelisihi-Nya dan pemberi khabar gembira dengan syurga jika kamu mematuhiNya', sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis sahih bahawa Rasulullah saw naik ke atas Gunung Shafa lalu beliau mengundang keluarga besar suku Quraisy dari yang paling dekat sehingga yang paling jauh. Atas undangan beliau ini mereka datang dan berkumpul. Beliau bersabda sebagai berikut. "Wahai kaum Quraisy! Bagaimana pendapat kalian jika aku memberi khabar kepada kalian bahawa seekor kuda akan datang pada waktu pagi, apakah kalian akan membenarkanku?" Mereka menjawab, "Kami tidak pernah mengenalmu berdusta." Beliau bersabda, "Sesungguhnya aku pemberi peringatan kepada kalian dengan seksa yang pedih."
Rujukan: 1999: 499-500 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini memiliki kaitan dengan ayat sebelumnya yang menjelaskan bahawa Al-Quran itu berasal dari Allah swt berisi penjelasan-penjelasan yang terperinci. Adapun di antara isinya yang dijelaskan secara terperinci adalah masalah tauhid iaitu bahawasanya tidak boleh menyembah kepada selain Allah Yang Maha Esa yang tidak ada sekutu baginya dan agar manusia meninggalkan segala bentuk penyembahan kepada dewa-dewa dan berhala-berhala. Kemudian, ayat ini memerintahkan kepada Rasulullah saw agar menyampaikan kepada seluruh umat manusia bahawa sesungguhnya dia adalah pemberi peringatan dari Allah agar mereka tidak melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan tidak menyembah berhala dan sebagai pemberi khabar gembira yang menyampaikan tentang pahala yang baik kepada orang yang taat, ikhlas dalam beribadah dan menghambakan diri hanya kepada Allah swt.
Rujukan: 2001: 312 (Tafsir al-Tabari)