Yunus (10) : 74
Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.
TAFSIR 1
Allah swt berfirman bahawa setelah Nabi Nuh a.s pun Allah masih mengutus para rasul untuk memberi petunjuk kepada kaumnya. Para rasul itu tidak datang dengan tangan kosong tetapi dengan bukti-bukti yang kuat atas kebenaran risalah llahi yang mereka bawa dan sebarkan, (Tetapi mereka tidak mahu beriman kerana mereka dahulu telah (biasa) mendustakannya) yakni alasan mereka tidak beriman bukan kerana atas dasar kebenaran, melainkan hanya kerana enggan membuka mata hati dan fikiran, justeru mereka terlebih dahulu mendustakan para rasul itu, sebagaimana yang dilakukan oleh kaum-kaum kebanyakan sebelum mereka. Allah swt kemudian menegaskan, (Demikianlah Kami mengunci hati orang-orang yang melampaui batas) yakni kerana enggan membuka mata hati dan langsung mendustakan para rasul Allah semenjak pertama kali di dakwah. Akhirnya, Allah menutup rapat-rapat pintu hati orang-orang yang melampaui batas itu sehingga mereka tidak mampu melihat kebenaran dan petunjuk yang jelas. Hal itu pula yang terjadi pada umat-umat semacam mereka pada generasi-generasi berikutnya. Merekalah orang-orang yang tidak akan beriman kepada Allah kecuali setelah melihat azab yang pedih. Namun pintu taubat telah ditutup pada saat azab Allah datang. Inti dari seluruh kisah itu adalah Allah telah melenyapkan umat yang membangkang dan berlebihan tetapi Allah menyelamatkan orang-orang yang beriman dari azab dan murka-Nya.
Rujukan: 1999: 494 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Sesudah mengutus Nabi Nuh, Allah pun mengutus para rasul kepada kaum mereka masing-masing. Para rasul itu datang dengan membawa bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang nyata mengenai kebenaran mereka bahawa mereka adalah utusan Allah dan bahawa apa yang mereka serukan itu adalah hak (benar). Namun, kaum-kaum yang didatangi oleh para rasul itu tidak mempercayai dan membenarkan ajaran-ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul mereka itu, sebagaimana kaum Nabi Nuh dan kaum-kaum yang lain sebelum mereka yang juga mendustakan para rasulnya. Jadi sebagaimana Allah, telah mengunci hati kaum-kaum sebelum mereka, Allah kunci pula hati mereka sehingga mereka tidak mahu menerima nasihat dari para rasul Allah dan mereka tidak mahu memenuhi seruan para nabi untuk kembali kepada Tuhan mereka. Hal itu adalah kerana dosa dan kederhakaan yang telah mereka lakukan. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang-orang yang melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah, orang-orang melanggar perintah-Nya untuk mengesakan-Nya dan tidak menyekutukan la dengan apapun dan orang-orang yang tidak mahu mentaati seruan para rasul untuk mentaati Allah. ltulah hukuman bagi mereka yang derhaka kepada Tuhan mereka.
Rujukan: 2001: 237 (Tafsir al-Tabari)