Al-Baqarah (2) : 135
Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah (wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik".
TAFSIR 1
Muhammad bin Ishaq meriwayatkan dari Ibnu Abbas tentang asbabun nuzul ayat ini iaitu ketika seorang Yahudi bernama Abdullah bin Suriah bin A?war berkata kepada Rasulullah saw ?Tidak ada hidayah, kecuali apa yang kami dapatkan. Kerana itulah, ikutilah kami, wahai Muhammad, nescaya kamu akan mendapatkan hidayah.? Hal yang sama dikatakan oleh kaum Nasrani. Allah swt kemudian menurunkan ayat ini. Muhamad bin Ka?ab Al-Qurazhi dan Isa bin Jariyah meriwayatkan bahawa ajakan kaum Yahudi tersebut ditampik Rasulullah saw, beliau hanya mengikuti agama Nabi Ibrahim. Itulah maksud firman Allah, (Katakanlah (Tidak!) tetapi (Kami mengikuti) agama Ibrahim yang lurus). Menurut Mujahid dan Rabi bin Anas kata (Yang lurus) bermakna agama yang patut dan harus diikuti. Adapun menurut Abu Qilabah kata tersebut bermakna menyakini kebenaran risalah yang dibawa semua rasul dari awal hingga akhir zaman.
Rujukan: 1999: 86-87 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan ajakan orang-orang Yahudi dan Nasrani kepada Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya agar masuk ke dalam agama mereka kerana menurut mereka agama mereka itulah yang paling benar. Maka Allah swt mewahyukan ayat ini kepada Nabi Muhammad saw sebagai hujjah baginya. Ayat ini menegaskan agar orang-orang Yahudi dan Nasrani megikuti millah Ibrahim yang hanif dan agar mereka meninggalkan millah-millah lain yang menyebabkan mereka saling berselisih. Lafaz (Millah) bererti agama sedangkan lafaz (Hanif) menurut Kasir Ibnu Abi Sahl, Kasir bin Ziyad dan Athiyyah bererti haji. Sehingga agama Ibrahim disebut hanif kerana Nabi Ibrahimlah yang pertama melaksanakan ibadah haji dan memimpin orang-orang untuk melaksanakannya pada waktu itu. Adapun menurut Mujahid, lafaz (Hanif) bererti orang yang mengikuti, namun ada juga yang mengertikan lafaz (Hanif) dengan Khitan. At-Tabari dalam hal ini berbeza pendapat, menurutnya jika Hanif diertikan dengan haji atau khitan, maka orang-orang Arab Jahiliah yang melaksanakan haji dan khitan pun bisa disebut sebagai orang-orang yang hanif. Oleh kerana itu, menurut At-Tabari makna (Hanif) yang paling tepat adalah pegangan teguh kepada millah Ibrahim, sentiasa mengikuti dan meneladani Ibrahim.
Rujukan: 2001: 589-594 (Tafsir al-Tabari)