At-Taubah (9) : 108 (Blok: 107-108)
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
TAFSIR 1
Pada saat Rasulullah saw dalam perjalanan pulang dari Tabuk menuju Madinah, ketika beliau berada pada tempat sejauh perjalanan sehari atau setengah hari dari Madinah, Jibril turun dan memberitahu masjid yang dibangun untuk kaum munafik serta memberitahukan niat mereka untuk memecah belah kaum muslimin yang solat di masjid mereka dan kaum muslimin yang solat di Masjid Quba iaitu masjid yang pertama kali dibangun atas dasar takwa. Rasulullah saw kemudian mengutus sejumlah orang untuk menghancurkannya sebelum beliau tiba di Madinah. Ali bin Abi Thalhah, dari Ibnu Abbas, berkata berkaitan dengan ayat di atas bahawa mereka adalah orang-orang dari ansar yang membangun masjid. Abu Amir berkata kepada mereka, "Bangunlah masjid dan bersiaplah semampu kalian dengan kekuatan dan senjata, sesungguhnya aku akan pergi ke Istana Raja Romawi dan aku akan datang dengan tentara-tentara Romawi lalu mengusir Muhammad dan sahabat-sahabatnya." Ketika mereka menyelesaikan pembangunan masjid itu, mereka datang menemui Rasulullah saw dan berkata, "Kami telah menyelesaikan pembangunan masjid kami dan kami berharap kiranya engkau solat di dalamnya dan doakanlah kami dengan keberkahan lalu Allah swt menurunkan ayat, (Janganlah engkau melaksanakan solat dalam masjid itu selama-lamanya) sehingga firman-Nya, (Allah menyukai orang-orang yang bersih). Allah swt berfirman, (Sungguh, masjid yang didirikan atas dasar takwa, sejak hari pertama adalah lebih pantas engkau melaksanakan solat di dalamnya) Konteks ayat ini menjelaskan Masjid Quba.
Rujukan: 1999: 470-472 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ketika Rasulullah saw berangkat menuju Perang Tabuk dan sampai di Dzi Awan, sebuah tempat di antara Tabuk dan Madinah, para pemilik Masjid Dhirar menemui Rasulullah untuk mengundangnya datang dan solat di dalam masjid yang telah mereka dirikan dengan dalih untuk orang-orang yang berhalangan, orang yang memerlukan dan untuk waktu malam ketika hujan dan musim dingin. Rasulullah saw mengatakan beliau akan mendatanginya sekembalinya dari Tabuk. Tatkala Rasulullah sampai di Dzi Awan, sampai kepadanya berita bahawa masjid itu didirikan untuk memecah belah umat Islam, menimbulkan perselisihan dan dipersiapkan untuk menyambut kedatangan Abu Amir Al-Kafir, seorang penentang Allah dan yang memerangi Rasulullah maka Rasulullah pun memerintahkan Malik bin Dukhsyum, saudara bani Salim bin Auf dan Ma'n bin Adi saudara dari Ashim bin Adi untuk pergi menghancurkan dan membakar masjid tersebut. Pada zaman Rasulullah saw, orang-orang munafik mendirikan Masjid Dhirar untuk menimbulkan kemudaratan atas masjid Rasulullah saw dan untuk memecah belah umat muslim agar sebahagian solat di sana dan sebahagian lain di masjid Rasulullah. Mereka bersumpah bahawa mereka membangun masjid ini hanyalah untuk berbuat baik kepada umat Islam, memberikan kemudahan kepada mereka yang lemah dan cacat dan siapa saja yang kesulitan untuk pergi solat ke masjid Rasulullah. Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu berdusta dalam sumpahnya.
Rujukan: 2001: 672-680 (Tafsir al-Tabari)