At-Taubah (9) : 106
Dan segolongan yang lain (dari orang-orang yang tidak turut berperang); ditempohkan keputusan mengenai mereka kerana menunggu perintah Allah; sama ada dia mengazabkan mereka ataupun Ia menerima taubat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
TAFSIR 1
Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Ad-Dhahhak dan lainnya berkata, "Yang dimaksud oleh ayat ini adalah tiga orang yang terlambat bertaubat dan mereka bertiga adalah Mirarah bin Rabi, Kaab bin Malik dan Hilal bin Umayyah. Mereka termasuk orang-orang yang meninggalkan Perang Tabuk kerana malas dan cenderung memilih beristirehat, menjaga diri, menikmati buah-buahan dan berlindung bukan kerana ragu-ragu atau munafik. Di antara mereka ada golongan yang mengikat diri mereka di pagar-pagar (masjid) seperti yang dilakukan Abu Lubabah dan sahabat-sahabatnya. Golongan yang tidak melakukan itu, mereka itulah tiga orang yang disebutkan sebelumnya. Lalu, turunlah ayat yang menerangkan diterimanya taubat golongan pertama lebih dahulu dari ketiga orang itu. Maksud firman Allah swt, (Mungkin Allah mengazab mereka dan mungkin Allah menerima taubat mereka) adalah mereka di bawah ampunan-Nya. Jika Dia menghendaki, Dia akan mengampuni mereka dan jika Dia menghendaki yang lain, Dia akan melakukannya. Akan tetapi, rahmat-Nya mengalahkan kemarahan-Nya. Adapun maksud firman Allah swt, (Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana) adalah Allah mengetahui orang-orang yang berhak mendapatkan hukuman dan orang-orang yang berhak mendapatkan pengampunan. Allah Maha Bijaksana dalam perbuatan-perbuatan-Nya dan perkataan-perkataan-Nya. Tidak ada tuhan selain Dia.
Rujukan: 1999: 470 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada tahun 9 H, terjadi peperangan antara kaum muslimin dan bangsa Romawi di Tabuk di negeri Syam. Beberapa orang sahabat mangkir (desersi) dari perang itu lalu mereka menyesali perbuatan tersebut. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa di antara orang-orang yang desersi dari perang Tabuk, tiga di antaranya diterima taubatnya oleh Allah swt iaitu Abu Lubabah dan kedua sahabatnya. Mereka mengaku bersalah kepada Rasulullah saw dan mengikat diri mereka pada tiang-tiang dan menginfakkan sebahagian harta mereka. Sementara tiga orang lainnya ditangguhkan keputusan tentang mereka beberapa lama, tidak pasti apakah mereka akan mendapat seksa ataupun ampunan dari Allah swt. Diriwayatkan dari Mujahid, Ad-Dhahhak dan Qatadah bahawa ketiga orang itu adalah Hilal bin Umayah, Murarah bin Rabi dan Kaab bin Malik, ketiganya dari bani Aus dan Khajraj. Menurut riwayat Ibnu Abbas, keputusan mengenai nasib mereka ditangguhkan kerana walaupun mereka menyesali perbuatan mereka tapi ketika rasul kembali, mereka tidak mengemukakan alasan mengapa mereka tidak ikut berperang dan mereka tidak mengikat diri mereka di tiang-tiang. Lalu. orang-orang berkata, "Celakalah mereka seandainya tidak turun ampunan atas mereka." Sebahagian yang Iain berkata, "Semoga Allah mengampuni mereka. Lalu, demikianlah nasib mereka itu selama beberapa masa sehingga turun QS At-Taubah, 9: 117 yang menyatakan bahawa Allah berkenan menerima taubat mereka itu."
Rujukan: 2001: 668-672 (Tafsir al-Tabari)