At-Taubah (9) : 74
Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.
TAFSIR 1
Allah berfirman, (Dan menginginkan apa yang mereka tidak dapat mencapainya) Dikatakan bahawa ayat tersebut turun mengenai Julaas bin Suwaid. Hal itu kerana ia ingin membunuh anak isterinya ketika ia berkata, "Sungguh akan aku beritahu kepada Rasulullah saw" Diriwayatkan pula bahawa ada seorang lelaki munafik yang ingin membunuh Rasulullah pada perang Tabuk, di sebahagian malam saat beliau berjalan, mereka terdiri dari sepuluh orang. Allah swt kemudian berfirman, (Dan mereka tidak mencela (Allah dan rasuI-Nya), sekiranya Allah dan rasuI-Nya telah melimpahkan kurnia-Nya kepada mereka) Rasulullah tidak mempunyai dosa atas mereka, hanya sahaja Allah melimpahkan kurnia kepada mereka dengan berkah beliau dan dikaruniakan kebahagiaan beliau. Seandainya kebahagiaan sempurna atas beliau, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada mereka atas apa yang beliau bawa. Kemudian Allah mengajak mereka untuk bertaubat, Dia berfirman (Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka dan jika mereka berpaling nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat) yakni jika mereka terus dengan jalan mereka Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia, dengan pembunuhan, kesedihan dan duka cita yakni dengan azab, seksaan dan kehinaan, (Dan mereka tidak mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di bumi) yakni tidak ada seorang pun yang akan membahagiakan mereka dan tidak ada yang memberikan mereka kebaikan serta tidak bisa menolak dari mereka kejahatan.
Rujukan: 1999: 462-463 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ibnu Jarir berkata tentang ayat ini bahawa Allah mengkhabarkan tentang orang munafik bahawa mereka bersumpah dengan (nama) Allah sebagai sumpah palsu atas perkataan kekafiran yang mereka ucapkan, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakiti Muhammad). Dimungkinkan bahawa yang mengucapkan itu adalah Julaas sebagaimana diriwayatkan dari Urwah. Dimungkinkan pula bahawa yang mengucapkannya adalah Abdullah bin Ubay Ibnu Salul (sebagaimana diriwayatkan dari Qatadah). Namun pendapat Qatadah, kami tidak mengetahui sumber asalnya. Kerana tidak ada berita bahawa salah satu di antara keduanya menetapkan hujjah yang sampai kepada ilmu yakin. Maka yang benar adalah sebagaimana difirmankan Allah, (Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran dan telah menjadi kafir sesudah Islam).
Rujukan: 2001: 569-576 (Tafsir al-Tabari)