At-Taubah (9) : 72
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.
TAFSIR 1
Allah mengkhabarkan janji-Nya kepada orang mukmin lelaki dan perempuan yang berupa kebaikan dan nikmat kekal (Akan mendapat) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya) yakni mereka tinggal di dalamnya dengan kekal, (Dan (mendapat) tempat yang baik) yakni bangunan yang baik dan tempat yang baik, sebagaimana yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dari Abu Musa Abdullah bin Qais Al-Asy?ari bahawa Rasulullah saw bersabda, "Syurga yang wadah-wadahnya dan seluruh yang ada di dalamnya terbuat dari emas dan syurga yang wadah-wadahnya dan seluruh yang ada di dalamnya terbuat dari perak, tidak ada hijab di antara kaum untuk melihat Rabbnya kecuali kain kebesaran di syurga 'Adn' Maksud firman Allah swt, (Dan keredhaan Allah lebih besar) adalah redha Allah lebih besar, agung dan mulia daripada nikmat yang ada pada mereka.
Rujukan: 1999: 462 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan (akan mendapat) syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, Maksudnya, Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta mengakui kerasulan dan wahyu yang dibawanya dari Sisi Allah, lelaki dan perempuan, bahawa mereka akan mendapat syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya dan mendapat tempat-tempat yang bagus di syurga 'Adn. Adapun riwayat yang menjelaskan makna ayat itu di antaranya sebagai berikut. Dari Al-Hassan, ia berkata, "Saya bertanya kepada Imran bin Hushain dan Abu Hurairah tentang satu ayat di dalam Al-Quran, (Dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di syurga Adn). Keduanya menjawab, 'Hakikat itu diketahui oleh orang yang ahli. Kami bertanya kepada Rasulullah saw, Maka beliau bersabda, 'Istana di syurga terbuat dari mutiara. Di dalamnya terdapat 70 negeri dari yaqut merah. Pada setiap negeri terdapat 70 rumah dari zamrud hijau. Dan pada setiap rumah itu terdapat 70 singgasana."
Rujukan: 2001: 557-565 (Tafsir al-Tabari)