Al-A’raaf (7) : 204
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
TAFSIR 1
Setelah Allah menjelaskan bahawa Al-Quran adalah bukti bagi manusia dan sebagai penunjuk serta rahmat, Allah memerintahkan untuk diam ketika dibacakan Al-Quran sebagai penghormatan dan penghargaan kepadanya. Tidak seperti yang dilakukan oleh orang-orang kafir Quraisy dalam firman-Nya sebagai berikut. (Dan orang-orang yang kafir berkata, Janganlah kamu mendengarkan (bacaan) Al-Quran ini dan buatlah kegaduhan terhadapnya, agar kamu dapat mengalahkan (mereka)) (QS Fussilat, 41: 26) Dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda sebagai berikut "Barang siapa yang mendengarkan sebuah ayat dari Kitab Allah, maka ditulislah baginya kebaikan yang berlipat ganda. Dan barang siapa yang membacanya, maka ia akan mempunyai cahaya pada hari Kiamat. " (HR Ahmad),
Rujukan: 1999: 417 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya Allah menjelaskan tentang berbagai keistimewaan Al-Quran dan bahawa ia merupakan ayat-ayat yang terang bagi kaum mukmin, petunjuk dan rahmat. Sedangkan pada ayat ini diterangkan petunjuk-petunjuk yang menunjuk ke arah jalan yang mengantarkan seseorang agar memperoleh rahmat dari Al-Quran itu dan memperoleh berbagai manfaat besar yang terkandung di dalamnya iaitu dengan cara mendengarkan bila Al-Quran itu dibacakan. Para ahli tafsir berselisih pendapat tentang orang yang diperintah untuk mendengarkan Al-Quran ketika dilantunkan dan ia diam tidak bicara, sebahagian mereka berpendapat bahawa yang dimaksud adalah orang yang tengah solat, orang yang tengah berada di belakang imam yang membaca Al-Quran diperintah untuk mendengarkannya, tidak diperkenankan mengikuti bacaannya kerana berdasar sebab inilah ayat ini turun. Hadisnya diriwayatkan oleh Abu Kuraib, ia berkata telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Iyasy, dari Ashim dari Musayyab bin Rafie, dari Abdullah. Sedang pendapat yang lainnya adalah bahawa yang dilarang untuk diam adalah ketika ayat Al-Quran disampaikan ketika khutbah, terutama ketika khutbah Jumaat, pendapat ini didasarkan kepada riwayat Tamim bin Al Muntashir, ia berkata, Ishak Al Azraq telah menceritakan kepada kami, dari Syuraik dari Said bin Masruq dari Mujahid. Namun ada pula yang dimaksud adalah di dua keadaan itu, pendapat ini didasarkan kepada riwayat Al Mutsanna, ia berkata, Muhammad bin Jaafar telah menceritakan kepada kami, ia berkata, Syubah telah menceritakan kepada kami, dari Manshur, la mendengar Ibrahim bin Abi Harrah, dari Mujahid. Intinya, barang siapa mendengarkan dan diam ketika Al-Quran dibacakan, maka dialah yang lebih dekat untuk dapat memahami dan memikirkannya. Dan orang seperti itulah yang patut diberi rahmat.
Rujukan: 2001: 658 (Tafsir al-Tabari)