Al-A’raaf (7) : 188
Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman".
TAFSIR 1
Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw untuk melimpahkan segala urusan kepada-Nya. Dan untuk memberitahukan tentang keadaan dirinya bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan tentang hal ghaib yang akan terjadi di masa mendatang ataupun melihat sebahagian kecil dari hal yang ghaib, kecuali yang Allah tampakkan kepadanya. Adh-Dhahhak dari Ibnu Abbas berkata, "Ayat (Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, nescaya aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya) maksudnya iaitu dari harta. Dan dalam sebuah riwayat diterangkan, "Kalau aku tahu, seandainya aku membeli sesuatu yang tidak membuatku untung sedikit pun. Maka aku tidak akan menjual sesuatu, kecuali aku mendapat keuntungan darinya." (Dan tidak akan ditimpa bahaya) iaitu aku tidak akan tertimpa kefakiran. Dan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam mengatakan tentang ayat, (Dan tidak akan ditimpa bahaya) iaitu maka aku akan menjauh dari apa yang bisa membuatku dalam bahaya sebelum itu terjadi.
Rujukan: 1999: 413-414 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat sebelumnya Allah swt menyuruh rasul-Nya supaya menjelaskan bahawa pengetahuan mengenai Kiamat ada di Sisi Allah semata. Maka, pada ayat ini dijelaskan pula bahawa Rasul saw disuruh supaya menjelaskan pula kepada mereka, bahawa segala perkara juga ada pada tangan Allah semata dan bahawa pengetahuan mengenai perkara ghaib juga ada pada-Nya. Sedangkan kedudukan rasul hanyalah mengajarkan dan memberi bimbingan bukan menciptakan dan mengadakan. Bahkan seorang rasul tidak mampu mendatangkan manfaat terhadap dirinya dan tidak pula menghindarkan bahaya yang menimpa terhadap dirinya terkecuali atas apa yang Allah kehendaki untuk terjadi kerana hanya Dia-lah yang memberi kekuatan dan pertolongan terhadapnya. Di samping itu seorang rasul tidak mengetahui perkara ghaib selain yang diwahyukan Allah kepadanya. Dalam ayat itu diterangkan, jikalau beliau mengetahui tentang perkara-perkara ghaib yang akan terjadi, maka tentunya dialah orang pertama yang akan semakin memperbanyak berbuat baik. Adapun selain itu, maka dia hanyalah seorang manusia biasa. Para ahli tafsir berselisih pendapat tentang makna kebaikan pada ayat ini, sebahagian mengatakan bahawa yang dimaksud oleh Rasulullah saw adalah nescaya aku akan lebih giat memperbanyak amal soleh. Pendapat ini didasarkan kepada banyak riwayat, diantaranya, dari Al Qasim, ia berkata, telah menceritakan kepada kami Al Husain, ia berkata, telah menceritakan kepadaku Hajjaj, ia berkata, Ibnu Juraij berkata, bahawa yang dimaksud dengan (Aku tiada kuasa mendatang- kan manfaat mahupun menolak mudarat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, nescaya aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya) adalah aku mengetahui kematian, nescaya aku akan memperbanyak amalan-amalan soleh. Sedang pendapat kedua bahawa yang dimaksud adalah kalaulah saya (Muhammad) mengetahui perkara-perkara ghaib, maka saya akan mempersiapkan untuk satu tahun yang gersang dengan satu tahun yang subur dan sungguh aku akan mengetahui waktu-waktu yang sibuk dari yang senggang sehingga saya akan mengisi waktu senggang itu.
Rujukan: 2001: 615-617 (Tafsir al-Tabari)