Al-A’raaf (7) : 187
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".
TAFSIR 1
Allah swt berfirman, (Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang Kiamat) ada yang menyatakan ayat ini turun untuk suku Quraisy dan yang lain menyatakan bahawa ayat ini untuk salah seorang dari Yahudi. Pendapat yang pertama lebih layak kerana ayat ini Makkiyah. Mereka menanyakan waktu datangnya hari Kiamat untuk menjauhkan diri dari kejadiannya dan untuk mendustakan terjadinya Kiamat. Allah memerintahkan RasuI-Nya, Muhammad saw apabila ada pertanyaan tentang waktu datangnya hari Kiamat agar mengembalikannya kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya Dialah yang akan memberikan keterangan tentang waktunya atau mempunyai pengetahuan yang pasti tentang urusan itu dan kapan akan terjadi secara pasti dan tepat. Tidak ada yang mengetahuinya selain Dia. Firman Allah (Tidak akan datang kepadamu kecuali secara tiba-tiba) iaitu seharusnya kejadiannya akan datang ketika mereka sedang lalai. Ditegaskan, (Katakanlah (Muhammad), 'Sesungguhnya pengetahuan tentang (hari Kiamat) ada pada Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui) Thariq bin Syihab meriwayatkan bahawa Rasulullah saw masih menyebut-nyebut tentang permasalahan hari Kiamat sampai turunnya ayat, (Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang Kiamat, "Bila terjadi?) (HR An-Nasa'i) Hadis ini baik dan kuat sanadnya.
Rujukan: 1999: 412-413 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini turun berkenaan dengan pertanyaan dari suatu kaum kepada Nabi Muhamad saw tentang waktu terjadinya Kiamat. Pada ayat ini diterangkan bahawa Allah menyuruh Nabi-Nya untuk menjelaskan kepada mereka bahawa waktu terjadinya Kiamat itu sendiri juga huru-hara yang bakal terjadi di langit dan di bumi pada saat itu tidak diketahui dengan pasti oleh makhluk-Nya kerana Kiamat akan datang kepada umat manusia secara tiba-tiba hingga mereka terkejut, ketika mereka sedang asyik-asyiknya mengurusi keperluan hidup sehari-hari.
Rujukan: 2001: 604-611 (Tafsir al-Tabari)