Al-A’raaf (7) : 169
Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: "Akan diampunkan kelak dosa kami" Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?
TAFSIR 1
Allah swt berfirman, (Maka setelah mereka, datanglah generasi (yang jahat) yang mewarisi Taurat, yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini) maksudnya Allah berfirman maka digantikanlah setelah mereka, generasi yang di dalamnya terdapat orang yang soleh dan jahat dan generasi lain yang tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka mewarisi pengetahuan kitab Taurat. (Yang mewarisi Taurat) iaitu setelah nabi-nabi dan rasul-rasul mereka, Allah mewariskan dan menyerahkan kitab kepada mereka. Maksud ayat, (Yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini. Lalu mereka berkata, "Kami akan diberi ampun) iaitu mereka berangan-angan kepada Allah dengan angan-angan yang tinggi dan mereka tertipu. (Dan kelak jika harta benda dunia datang kepada mereka sebanyak itu (pula), nescaya mereka akan mengambilnya (juga)) maksudnya tidak ada yang menyibukkan fikiran mereka dan tidak ada sesuatu yang mencegah mereka melakukannya. Setiap sesuatu yang berlalu di depan mereka dari kenikmatan dunia, mereka makan tanpa berfikir halal ataupun haram. Allah swt berfirman, (Bukankah mereka sudah terikat perjanjian dalam Kitab (Taurat) bahawa mereka tidak akan mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar) iaitu mereka mengingkari apa-apa yang mereka perbuat Firman-Nya, (Negeri akhirat itu lebih baik bagi mereka yang bertakwa. Maka tidakkah kamu mengerti?) iaitu mendorong mereka dengan banyaknya pahala dari-Nya dan memperingati mereka akan kepedihan seksaan-Nya. (Maka tidakkah kamu mengerti?) bukankah mereka yang mengambil ganti perhiasan dunia dengan apa yang Aku miliki. Akal melarang mereka berada dalam kebodohan dan pemborosan.
Rujukan: 1999: 407 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa dari Bani Israil telah lahir satu generasi derhaka yang mewarisi Taurat yakni mengetahui isi Taurat itu dan memahami hukum-hukum yang terkandung di dalamnya namun mereka lebih mementingkan harta dan kemewahan duniawi, sekalipun mesti dengan cara yang haram. Mereka tetap tenggelam dalam dosa-dosa, mereka tak hendak berhenti dari perbuatan-perbuatan mereka yang derhaka. Mereka menyangka bahawa perbuatan mereka akan diampuni padahal mereka pun tahu bahawa Allah menjanjikan ampunan itu hanyalah bagi mereka yang mahu bertaubat.
Rujukan: 2001: 534-536 (Tafsir al-Tabari)